Toyota UK sebelum ini telah mendedahkan sebuah kereta konsep mereka – Toyota GT86 Initial D Concept – khas untuk memperingati watak ikon automotif dalam dunia manga dan anime Jepun, Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno GT-Apex milik Kedai Taufu Fujiwara dalam siri popular Inital D.

Dalam pendedahan model konsep sebelum ini, Toyota UK turut memaparkan kereta berkenaan beraksi berlatar belakangkan illustrasi oleh artis manga UK- Sonia Leong. Kini, syarikat berkenaan menyiarkan pula video jentera konsep berkenaan beraksi sebagai kereta drift dan penghantar tauhu.

Selain dari aksi drift, penukaran gear manual dan teknik heel and toe yang sememangnya menjadi rencah dalam setiap episod Initial D, video tersebut juga turut memaparkan babak tauhu yang dihantar berkenaan di tempat duduk belakang kereta.

Toyota GT86 Initial D diberikan warna badan keseluruhan dengan tema hitam-putih yang popular dengan jolokan “panda”. Model konsep ini juga menerima pelbagai modifikasi agar ia kelihatan seiras dengan AE86 yang dipandu oleh Fujiwara Takumi dalam ekspedisi pasukan Project D. Antara ciri yang dilengkapi adalah roda aloi 17-inci binaan khas RS Watanabe, bonet hadapan gentian karbon, lampu kabus kuning dan juga mud flap. Ia juga turut dipadankan dengan sistem suspensi TRD Sportivo lengkap dengan strut-bar dari Cusco.

Untuk peminat Initial D di luar sana, adakah anda teruja dengan model GT86 yang diinspirasikan dari AE86 Kedai Tauhu Fujiwara ini? Kongsikan pendapat anda di ruang komen di bawah.