ruli-v8-china-1-660x475_BM

Selain dari model-model eksklusif yang hanya dikeluarkan untuk pasarannya, China juga turut terkenal dengan lambakan model-model kereta tempatan dengan rekaan klon yang diambil rekaan jenama-jenama terkenal antarabangsa – contohnya Landwind X7, klon seiras Range Rover Evoque. Sebuah lagi model klon seiras muncul menurut laporan CarNewsChina.com, yang menjadikan Toyota Alphard terbaharu sebagai sasaran.

MPV bersaiz besar ini dikenali sebagai Ruili DoDa V8. Enjin V8? tidak, ia hanya sebagai nama. Ruili DoDa V8 hanya dijana enjin petrol empat silinder sebaris 2.4 liter yang dibekalkan oleh Mitsubishi, berbanding Toyota Alphard sebenar yang dijana oleh enjin petrol V6 3.5 liter. Papan pemuka DoDa V8 ini pula kelihatan seiras dengan Alphard generasi sebelum ini. Mengapa? ini kerana DoDa V8 dibina berdasarkan MPV Joylong Aifei, iaitu klon Alphard generasi kedua.

Untuk dimensi, Alphard dan Ruili DoDa V8 mempunyai lebar yang sama iaitu 1,890. Alphard asli diukur sedikit panjang dan dan sedikit tinggi dengan ukuran 4,925mm panjang dan 1,850mm tinggi berbanding DoDa V8 yang berukuran 4,900 mm panjang dan 1,830 tinggi. Jarak roda DoDa V8 pula berukuran 2,950 mm panjang, manakala Alphard asli diukur 50 mm lebih panjang.

Ruili DoDa V8 belum lagi dilancarkan, tetapi dilaporkan akan dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding Joylong Aifei apabila menembusi pasaran kelak. Dan ia dijangka akan mula masuk ke bilik pameran pasaran China pada suku keempat tahun ini.