Teaser untuk BMW 330e telah pun dikeluarkan oleh BMW Malaysia di laman web mereka, sebagai salah satu langkah promosi untuk acara BMW Innovation Days yang bakal berlangsung di Desa ParkCity bermula 26 hingga 28 Ogos ini. Sedan plug-in hybrid ini bakal didedahkan pada acara berkenaan, seminggu selepas BMW Malaysia mengesahkan model ini bakal masuk ke pasaran Malaysia.
Harga untuk model ini masih lagi belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan menawarkan harga yang sangat menarik dan pengedar telah membayangkan 330e akan dijual pada harga sekitar RM240k hingga RM260k. Ini akan meletakkan 330e berada di antara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800), menggantikan model-model 320d dan 320i M Sport (yang dijual pada harga RM269k dan RM259k) yang tidak lagi dijual sejak awal tahun ini.
Imej teaser yang dipaparkan ini merupkan model yang dilengkapi denga pakej Sport Line, dan ia tidak mewakili model yang akan dijual untuk pasaran tempatan, dan ia disokong oleh laporan sebelum ini yang menyatakan 330e mungkin akan ditawarkan sama ada dalam varian Sport Line atau M Sport.
BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder, motor elektrik dan kotak gear lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 180 hp dan tork maksima 290 Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87 hp dan tork 250 Nm. Secara keseluruhan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan tork 420 Nm; berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan kuasa 252 hp dan tork 350 Nm.
Dengan padanan tersebut, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i; 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 22.5 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.
Anda juga boleh mendaftar di sini sekiranya berminat untuk menyertai acara BMW Innovation Days ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.