Cloned-cars-

Sebanyak 149 kereta klon telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang Januari hingga Julai tahun ini. Ia membabitkan rampasan bernilai RM227,500, dan menurut Pengarah JPJ negeri berkenaan, Mahassan Mustapa, sebanyak 16 kes berkaitan kereta klon sedang dirujuk di mahkamah termasuk empat kes telah dilucutkan hak dan dua lagi kes dalam proses.

Beliau turut berkata, kebanyakannya melibatkan kereta berjenama mewah termasuk Toyota Alphard, Vellfire, Wish, Honda Civic, BMW dan Mercedes-Benz, laporan Harian Metro.

“Setiap pemilik kereta klon itu akan didenda minimun RM12,000 membabitkan tiga kesalahan seperti tiada cukai jalan, tiada insurans serta menggunakan nombor pendaftaran yang tidak berdaftar. Selain itu, kereta klon terbabit akan dilucut hak dan diserahkan kepada JPJ,” ujarnya kepada pihak media.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi mengekang kegiatan kereta klon di negeri tersebut.