Massachussetts kenakan cukai terhadap Uber dan aplikasi lain serupa, hasil disalurkan ke industri teksi

uber-cash-payment

Masalah antara Uber atau aplikasi perkongsian kenderaan lain dengan pemandu teksi bukan sahaja berlaku di negara kita. Selain dari mogok dan protes yang dilaporkan dibuat oleh pemandu teksi di serata dunia, Uber juga dilihat agak licik dalam hal mengelakkan cukai.

Di Massachussetts, pihak berkuasa tempatan disana akan mengenakan caj 20 sen (RM0.80) untuk setiap perjalanan menggunakan aplikasi sedemikian dimana lima sen (RM0.20) akan disalurkan terus kepada industri teksi, menurut laporan Reuters.

Undang-undang berkenaan telah ditandatangani oleh gabenor Republikan Charlie Baker sebagai sebahagian dari siri menetapkan undang-undang dalam industri berkenaan. Juga sebahagian daripada caj berkenaan, 10 sen (RM0.40) akan disalurkan kepada bandar dan pekan, manakala 5 sen selebihnya akan disalurkan kepada dana pengangkutan negeri.

Wang yang disalurkan ke industri teksi berkenaan adalah untuk menolong perniagaan tersebut mengadaptasi “teknologi baharu dan mempertingkatkan kebolehan servis, keselamatan dan operasi” serta menyokong pembangunan tenaga kerja. Reuters juga melaporkan caj berkenaan berpontensi untuk memberikan dana sebanyak sejuta dolar setahun, kerana Uber dan Lyft sahaja mempunyai jumlah perjalanan terkumpul 2.5 juta di Massachusetts setiap bulan.

Jurucakap agensi kewangan MassDevelopment, Mark Sternman berkata, undang-undang berkenaan dan bagaimana untuk mengutip serta perancangan untuk menggunakan caj ini masih lagi diperingkat rangkaan, dan agensi ini juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengutip caj tersebut.

Rata-rata pengendali servis perkongsian kenderaan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah ini. “Saya rasa tidak patut kami terlibat dengan perniagaan yang menyalurkan subsidi kepada pesaing kami yang berpotensi,” kata Kirill Evdakov, Ketua Eksekutif Fasten – aplikasi perkongsian yang berpangkalan di Boston. Menurut Evdakov lagi, caj berkenaan tidak akan disedari oleh pemandu atau penumpang tetapi ia akan dibayar terus dari syarikat dimana mereka akan diberikan borang tuntutan atau cara lain kelak.

uber-paris

Menurut laporan Reuters lagi sebahagian pemilik teksi mahu undang-undang tersebut diberatkan lagi, seperti mengharamkan terus servis sedemikian kecuali mereka turut perlu menjalani pemeriksaan polis seperti teksi konvensional. “Mereka telah melanggar undang-undang, yang kami kami turuti selama bertahun-tahun,” kata pengurus Persatuan Pengendali Teksi Bebas kawasan Boston, Larry Meister.

Walau bagaimanapun, bukan semua undang-undang tidak berpihak kepada servis aplikasi perkongsian kenderaan. Contohnya, tiada undang-undang untuk mengharamkan mereka untuk mengambil pelanggan di lapangan terbang Boston dan pusat konvensyen, walaupun tempat-tempat berkenaan mempunyai undang-undang khas mereka. Jurucakap Lyft, Adrian Durbin mengatakan syarikatnya berpuas hati dengan undang-undang berkenaan walaupun ia tidak sempurna.

Pembayaran cukai tersebut sebenarnya tidak akan dilaksanakan selamanya. Caj lima sen yang disalurkan untuk industri teksi akan dimansuhkan pada penghujung 2021, Selepas itu caj ini akan dibahagikan kepada pihak tempatan dan negeri sehingga semuanya akan dimansuhkan pada 2026.

Langkah yang diambil ini merupakan salah satu cara pihak berkuasa untuk mengawal selia dan mengambil cukai keatas operasi perkhidmatan sedemikian. Seattle telah mewujudkan undang-undang yang membolehkan pemandu bergabung, manakala Taiwan pula akan mengenakan cukai sebanyak USD6.4 juta (RM25.8 juta) kerana struktur cukai yang telah berubah untuk perniagaan atas talian antarabangsa.

Di Malaysia, Kabinet telah pun meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang dirangka oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dibuat untuk membolehkan teksi biasa dan perkhidmatan e-hailing beroperasi dalam masa yang sama serta mewujudkan persaingan sihat. Mulai 1 September para pemandu teksi perlu memegang satu kad pemandu dari SPAD dan kenderaan mereka perlu menjalani peemriksaan keselamatan. Undang-undang turut dikenakan terhadap syarikat pengendali dan pemandu e-hailing untuk memastikan mereka mematuhi peraturan seperti mendapatkan perlindungan insuran wajib serta keperluan keselamatan dipatuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required