tamiya_nsx

Khas untuk peminat model kit plastik skala 1:24, Tamiya USA telah mengumumkan menerusi laman Facebook mereka bahawa model kit Honda NSX generasi terbaharu keluaran Tamiya kini sudah mula boleh ditempah dan dijual dengan harga yang dicadangkan pengeluar USD$53.00 (RM215).

Setelah dikecilkan dari model NSX sebenar dengan skala 1:24, kit dari Tamiya ini diproduksi dengan dimensi 187 mm panjang, 92 mm lebar dan tinggi 51 mm. Kit ini hadir dengan kerangka casis yang sama dengan kereta sebenar, lengkap dengan sistem suspensi yang serupa. Replika enjin V6 dengan perincian yang teliti juga dibekalkan sekali dalam kit ini.

Bahagian dalaman model kit ini juga tampil dengan perincian yang realistik terutamanya pada bahagian kokpit dan juga panel pintu. Untuk memberikan lebih perincian, kit ini turut dibekalkan dengan metal transfers bagi membolehkan permukaan cermin serta emblem kelihatan realistik selain dari dekal, pelakat badan serta pelekat masking untuk mengecat kemasan pada bahagian cermin.

Pembina kit bebas untuk membina kit ini sama ada sebagai versi pemanduan sebelah kiri atau sebelah kanan, mahupun sebagai versi Honda atau Acura NSX, kerana semua kit tersebut disertakan sekali dalam setiap kotak model ini.

Honda NSX sebenar dijana oleh gabungan hibrid enjin petrol dan tiga unit motor elektrik. Enjin 3.5 liter V6 DOHC turbo-berkembar yang diletakkan pada bahagian tengah kereta akan menyalurkan kuasa 550 hp/550 Nm bersama sebuah motor elektrik Direct Drive berkuasa 47 hp/148 Nm terus ke gandar belakang. Manakala setiap roda hadapan akan dipacu motor elektrik berkuasa 36 hp/146 Nm pada setiap roda, menjadikan kuasa mutlak kereta ini 573 hp/645 Nm.

Model sebenar supercar dari Jepun ini juga diumumkan dijual pada harga 130,000 pound sterling (RM755k) di UK, 180,000 euro (RM815k) di Jerman, AUD420,000 (RM1.28 juta) di Australia dan SGD888,999 (RM2.67 juta) di Singapura.