Geely sedang berminat untuk mengambil alih jenama sportscar British, Lotus bagi pembelian syarikat seterusnya, memetik laporan spekulatif oleh Road & Track. Proton, selaku pemilik Lotus pula memang diketahui sedang mencari rakan strategik luar sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihannya, yang mungkin melibatkan pengguguran jenama Lotus. Bagaimana pun, Proton belum mengesahkan apa-apa berkaitan perkara ini.

Sebuah lagi jenama automotif yang tidak dinamakan turut berura-ura akan dibeli juga oleh Geely. Apa pun, jika benar khabar angin ini, Lotus menjadi calon yang lebih ke depan, kerana cabang kejuruteraannya, Lotus Engineering turut terlibat dalam kerja-kerja pembangunan bersama beberapa pengeluar lain.

Volvo juga kelihatan lebih “meriah” di bawah seliaan Geely; model SUV XC90 generasi kedua yang menerima sambutan menggalakkan diperingkat global serta beberapa lagi model akan datang yang akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), seperti XC40 dan S40.

Bagi Proton pula, lima pihak yang berpotensi sedang dinilai untuk menjadi rakan strategik asing. CEO DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar memaklumkan bahawa rakan asing itu perlu padan secara strategik, gerak dan budaya kerja dengan Proton. Bagaimana pun, ia tidak akan dijual sepenuhnya, dengan DRB-Hicom berkali-kali menekankan yang syarikat itu akan mempunyai pegangan yang utama dalam Proton.