VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

Walau berhadapan dengan pelbagai cabaran di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bukan mudah untuk jenama Volkswagen mengharunginya. Malah telah beberapa kali menukar barisan tampuk kepimpinannya dan pada September tahun lalu, Porsche Holding Salzburg (PHS) telah mengumumkan penyertaannya ke dalam pasaran automotif tempatan sebagai pengedar rasmi kenderaan Volkswagen, di bawah nama syarikat baharu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Terbaru, VPCM diterajui oleh Erik Winter sebagai Pengarah Urusannya yang baharu berkuat kuasa 8 Disember lalu, ditugaskan memantau operasi Jenama dan Sumber Manusia Syarikat. Turut bersama beliau dalam barisan kepimpinan VPCM ialah Pengarah Urusan VPCM untuk Selepas Jualan, Teknologi Maklumat dan Kewangan, Florian Steiner.

Dengan adanya barisan kepimpinan ini, VPCM juga telah memperkenalkan beberapa kaedah baharu termasuklah jaminan pengilangan selama lima-tahun bagi menggantikan format waranti lanjutan terdahulu iaitu 3+2.

Malah VPCM turut memperkenalkan program “VPCM Customer Care Goodwill” yang memberikan pembaikan goodwill dua-tahun tambahan kepada transmisi klac berkembar Direct Shift Gearbox (DSG) pada kereta-kereta VW yang diproduksi sehingga Disember 2013 dengan perbatuan sehingga 200,000 km. Waranti ini akan bermula selepas berakhirnya waranti lima tahun pada kereta-kereta berkenaan.

Waranti alat ganti secara standard pula menawarkan waranti dua-tahun automatik untuk menggantikan/membayar kos membaikpulih, tidak termasuk elemen yang lusuh dan tidak boleh dipakai lagi. Menurut Steiner, perkara ini tidak diberi tekanan yang mencukupi sebelum ini.

Ketersediaan alat ganti juga merupakan satu lagi isu, di mana sistem pesanan akan dilakukan sebelum jam 11 pagi setiap hari, (tetapi sekiranya tempahan dibuat selepas jam 2 petang, pesanan akan dibuat pada keesokan harinya). Kebiasaannya alat ganti didatangkan dari Singapura, namun hab alat ganti utama VW bakal beroperasi di Johor pada tahun 2018, jadi tempoh waktu menunggu dapat dipendekkan.

Inisiatif utama bagi perkhidmatan selepas jualan ialah memberikan latihan yang lebih bersepadu kepada para pengedar. Malahan VPCM menerbangkan pakar VW dari luar negara untuk melatih tenaga kerja tempatan termasuk bahagian teknikal.

Selain itu, Akademi Volkswagen kini dalam pembinaan dan dijangka bakal dibuka pada suku kedua tahun ini. Ia adalah bagi penyediaan fasiliti latihan termasuk bahagian jualan dan teknikal serta boleh memuatkan hampir 150 orang sehari, seganda berbanding fasiliti sedia ada. Malah VW Singapura juga boleh menggunakan pusat latihan setinggi empat tingkat yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Sementara itu, empat lagi pusat 3S baharu akan dibuka pada tahun ini termasuklah yang terbaharu di Batu Pahat. Lain-lain pusat 3S baharu yang bakal dibuka adalah di Tebrau (Feb) dan Permas Jaya (Mac), kedua-duanya di Johor dan juga Seremban (April). Segala usaha ini dibuat untuk mengembalikan kepercayaan para pelanggan yang terdahulu berhadapan dengan masalah kebimbangan sebagai pemilik kenderaan VW.

VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

“Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Tetapi kami juga tidak mampu menjawab semuanya, tetapi perlu ada kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. Kami tidak sempurna, tetapi kami mahu terus berusaha memperbaiki kelemahan,” ujar Steiner.

Katanya lagi, pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dilakukan oleh para pengedar.

Usaha bagi mempertingkatkan perkhidmatan selepas jualan adalah misi masa kini VPCM di Malaysia – membina jenama dan meraih semula kepercayaan serta keyakinan di kalangan pelanggan dan bakal pelanggan. Fokus ini mendorong “angka jualan bukanlah matlamat utama untuk 2017.” Tahun lalu, jenama ini berjaya menjual sebanyak 6,048 unit dengan 1.2% penguasaan pasaran, menepati sasaran.

Justeru, tiada sasaran jualan bagi 2017 yang dikongsikan ketika pertemuan antara VPCM dengan pihak media semalam. Menurut VPCM, mereka mensasarkan untuk “pertumbuhan yang mampan” dan mengekalkan perkongsian pasaran. Pada tahun ini, VPCM akan melancarkan dua model utama iaitu Tiguan baharu dan Beetle facelift. Di samping akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad, berasaskan model CKD sedia ada.

VPCM mahu memfokuskan aktiviti yang boleh membina semula jenama ini. Beberapa tahun lalu, syarikat ini merancang untuk membawa masuk Golf GTE plug-in hybrid, tetapi perancangan tersebut terpaksa dibatalkan.

VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

Sebelum ini, VW pernah mengadakan jualan “Drop Everything” iaitu pada separuh pertama tahun 2016, dengan menawarkan harga ‘durian runtuh’ untuk model stok lama yang ingin dihabiskan. Walau pun ia menampakkan keberkesanan, namun sebenarnya cara ini kurang bagus untuk jenama ini dalam jangka masa yang panjang. Di mana ia mampu memberikan impak terhadap nilai jualan semula.

Syarikat ini percaya, “dengan memperoleh kembali kepercayaan dan keyakinan,” nilai jualan semula boleh dipertingkatkan, tetapi mengakui ia melibatkan proses yang lama. “Ia perlu mengambil masa yang lama, tetapi kami percaya dengan imej jenama yang lebih baik, nilai jualan semula juga mampu dipertingkatkan,” ujar Winter.

Apa yang pasti, selepas ini tiada lagi ‘jualan-super-mega’ seperti “Drop Everything” yang pernah dilakukan sebelum ini. Winter berpendapat, “kami mahu mengekalkan harga”, di mana ia juga bermakna tiada peningkatan harga walau pun berhadapan dengan situasi pertukaran mata wang asing dengan nilai ringit yang rendah. “Untuk musim perayaan, insentif akan diberi, tetapi bukanlah diskaun sehingga RM30,000 hingga RM40,000 seperti dahulu,” katanya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required