GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

2017 Honda Civic

Pertama kali mula dilihat pada September tahun lalu, Honda Civic Hatchback kini sudah bersedia untuk memasuki pasaran. Dengan itu, pengeluarnya juga sudah pun mendedahkan gambar-gambar sebenar terbaru serta maklumat lanjut berkenaan model berkenaan. Di Eropah, model ini antaranya akan menjadi pesaing kepada Volkswagen Golf, Ford Focus, Vauxhall/Opel Astra dan Peugeot 308.

Civic untuk pasaran Eropah ini merupakan sebuah hatchback lima pintu yang dipasang di Swindon untuk pasaran dunia. Hab pengeluaran Honda di Eropah itu menerima pelaburan €270 juta bagi teknologi dan proses pengeluaran terkini untuk persediaan pemasangan model baru, sebelum kemudiannya akan dieksport dari UK. Kali ini, Civic hatchback ini turut akan memasuki Amerika Syarikat.

“Penghasilan Civic generasi kesepuluh mencerminkan pembangunan meodel yang komprehensif dan berpandangan jauh yang dilakukan oleh Honda. Termasuk komitmen terhadap sumbar R&D yang pertama seumpamanya, proses berkenaan turut melibatkan operasi pengilangan dan jualan di seluruh dunia, dari Amerika Utara dan Jepun, hinggalah ke Eropah, Amerika Selatan dan Asia,” jelas ketua projek global dan ketua juruteranya, Mitsuru Kariya.

GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

2017 Honda Civic

“Kereta ini, Civic yang paling sporty pernah dihasilkan, meletakkan tanda aras baru bagi kenderaan kelas kompak dari sudut prestasi, penjimatan minyak, keluasan ruang, keselamatan dan kualiti ruang kabin,” tambah beliau. Kenyataan seperti ada asasnya, tambahan pula jika melihat kepada kualiti model-model yang ingin dicabar.

Untuk membolehkannya mendahului dalam kelas yang sedia mencabar, dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan harga jualan, cekap minyak dan pengilangan, ia memerlukan pemikiran dan pendekatan baru terhadap pembangunan kerangka, badan serta aerodinamik kenderaan. Pasukan yang terlibat dalam pembangunannya mengadakan ujian sebenar, termasuk penilaian terhadap kenderaan mewah di Eropah, dalam usaha untuk menentukan tahap keselesaan, pengendalian, stereng dan NVH, serta kualiti ruang dalaman.

Civic hatchback terbaru ini 30 mm lebih lebar, 136 mm lebih panjang dan 20 mm lebih rendah berbanding generasi terdahulu bagi model hatchback yang sama. Rim dan tayar yang lebih besar serta lebar memberikan kedudukan stance yang lebih tegap. “Imej gagah yang dapat dilihat di luar turut mencerminkan sifat dinamik dan kejuruteraan teknologi yang menjadi terasnya,” jelas Kariya.

GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

2017 Honda Civic

Hondan menyatakan Civic baru ini memiliki ciri aerodinamik paling komprehensif dalam segmen kompak, termasuk penggunaan panel yang menyeluruh di bahagian bawahnya. Bahagian lain yang turut menyumbang kepada faktor ini ialah rekaan pada bahagian lengkung roda yang membantu mengalihkan aliran angin di sekitarnya, rekaan rim serta spoiler belakang yang lebih rendah. Bacaan CdA (coefficient of drag (Cd) dan frontal area (A)) dipertingkatkan sebanyak 3% – terbaik dalam kelasnya.

Civic baru ini juga 16 kg lebih ringan, dan dalam masa yang sama 52% lebih keras. Penambahbaikan pada aspek pengukuhan dan rekaan kerangka unibody menyumbang kepada bacaan NVH yang lebih baik. Dengan kendalian dan keselesaan menjadi keutamaan, Honda menggunakan sistem suspensi serba baru, pusat graviti yang lebih rendah (sebanyak 10 mm, 35 mm hip point yang lebih rendah bagi pemandu) dan sistem EPS denga ciri dual pinion variable-ratio, yang lebih pantas dan memberi maklumbalas terus berbanding Civic sedan yang dijual di sini.

Ia juga menjadi yang pertama bagi mana-mana model keluaran Honda yang menggunakan hydraulic fluid-filled compliance bushings, di depan dan belakang – ini memberikan keselesaan dan kawalan gegaran yang lebih baik. Varian tertinggi dilengkapi dengan sistem penyerap hentak empat peringkat adaptif yang pernah ditawarkan pada model Civic Tourer pada 2014. Sistem berkenaan mempunyai dua talaan – normal dan dinamik – dikawal oleh ECU, sensor badan tiga penjuru dan injap solenoid pada setiap penyerap hentak yang mengawal aliran minyak padanya.

Civic hatchback ini juga menjadi model pertama oleh Honda di Eropah yang ditawarkan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder dan 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang dibangunkan semula (kerangka lebih kuat, dengan geseran ketika pertukaran gear dikurangkan sebanyak 40%) atau CVT automatik. Enjin Euro 6 berkenaan hadir dengan ciri suntikan terus, pengecaj turbo kompak, mono-scroll dengan inertia rendah, wastegate elektronik, i-VTEC dan Dual-Variable Timing Control.

Enjin tiga-silinder itu dikatakan memberi peningkatan penting bagi pemanduan harian, dengan penjimatan minyak yang lebih baik berbanding enjin 1.8 NA terdahulu. Ia menjana 129 PS pada 5,500 rpm dan 200 Nm dari 2,250 rpm tork dengan transmisi 6MT. Dengan padanan CVT, ia memberikan 180 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Penggunaan minyak dari kitaran gabungan NEDC adalah dari 4.7 liter per 100 km (21.3 km/l). 0-100 km/j ialah dalam tempoh 10.2 saat.

Enjin 1.5 Turbo pula menghasilkan 182 PS pada 5,500 rpm (6,000 rpm dengan CVT) dan 240 Nm tork dari 1,900 hingga 5,000 rpm (220 Nm dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm bagi CVT). 0-100 km/j ialah dalam 8.2 saat. Penggunaan minyak secara gabungan bagi manual ialah 5.8 liter per 100 km (17.2 km/l). Civic 1.5L Turbo yang dijual di Malaysia menjana 172 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork dari 1,700 hingga 5,500 rpm.

GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

2017 Honda Civic

Selain daripada kedudukan memandu 35 mm lebih rendah, bonetnya juga direndahkan sebanyak 65 mm; memberi pengihatan yang lebih baik. A-pillar pula 12 mm lebih nipis. Tempat duduk pemandu boleh dilaraskan dalam 14 langkah, dengan tempat duduk depan mempunyai tambahan 10 mm jarak untuk digelungsur serta 10 mm tambahan bagi pelarasan ketinggian.

Bagi ruang bahu, ia ditambah 10 mm, dan ruang di antara tempat duduk depan dinaikkan sebanyak 30 mm. Ruang bahu tempat duduk belakang ada tambahan 20 mm, dan penumpang belakang juga akan lebih selesa dengan ruang kaki yang menerima pertambahan 95 mm, manakala ruang lutut diberi tambahan 45 mm.

Ruang barangan pula ialah dengan kapasiti 478 liter. Di Eropah, model ini turut didatangkan dengan ciri Honda Connect generasi kedua, dengan sokongan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem berkenaan dikuasakan oleh pemproses Nvidia Tegra 3 Quad-Core, dan paparannya pula melalui skrin sentuh TFT-LCD tujuh inci. Sistem audio pula mengunakan unit 449 watt dengan 11 pembesar suara.

Bagi ciri keselamatan, Honda Sensing yang merangkumi ciri-ciri seperti Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation, Lane Keeping Assist System, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assistance dan Intelligent Adaptive Cruise Control. Selain itu, Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor turut disediakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required