Prodrive adalah sebuah syarikat kejuruteraan automotif yang berasal dari United Kingdom, dan sejak wujud pada tahun 1984, ia dikenali dengan pencapaian mengagumkan dalam pelbagai perlumbaan di seluruh dunia. Terbaru, syarikat ini bekerjasama dengan atlet Monster Energy, Guerlain Chicherit untuk menghasilkan sebuah jentera lumba Renault Megane RX, untuk perlumbaan FIA World Rallycross Championship 2018.

Asas yang diambil untuk jentera lumba ini adalah model Renault Megane generasi keempat, dan Prodrive akan mengubah suai segala aspek termasuk enjin 2.0 liter turbo yang berada di bawah hudnya. Semua ini akan dilakukan di ibu pejabat Prodrive di Banbury, United Kingdom.

Disebabkan Prodrive mempunyai kemampuan untuk menghasilkan pakej enjinnya yang tersendiri, Megane RX boleh jadi menggunakan enjin lain berbanding model produksinya. Untuk memberi jangkaan, kerana bertanding dalam kelas Supercar, ia mungkin dipadatkan dengan kuasa yang boleh mencapai 600 hp dan 900 Nm tork. Sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman juga mungkin dibuang.

Walaupun lebih terkenal dengan pembangunan jentera lumba rali dan litar, Prodrive telah menimba pengalaman dalam rallycross dengan penghasilan Mini WRX pada tahun 2013 yang bersaing dalam perlumbaan Global Rallycross Championship (GRC).

“Sudah lama kami memasang cita-cita untuk bersaing dalam FIA World Rallycross Championship. Ia adalah satu siri sukan permotoran yang paling pantas berkembang di dunia dan memberikan kami peluang untuk mengunakan segala kepakaran kejuruteraan yang ada untuk membangunkan sebuah kereta yang mampu memenangi gelaran dunia. Guerlain pula adalah seorang pelumba yang berbakat,” kata pengerusi Prodrive, David Richards.

Renault Megane RX akan membuat penampilan pertama semasa World Rallycross 2017 pusingan di Lohéac, Perancis 1 September ini dan ia seterusnya akan diuji semasa musim luruh untuk memastikannya bersedia untuk perlumbaan musim tahun 2018.