Setelah muncul dalam bentuk model konsep tahun lalu, trak pikap Mercedes-Benz X-Class dalam bentuk prototaip produksi kini dilihat sedang menjalani ujian musim sejuk sebenar. Walau bagaimanapun, dengan pelekat penyamaran meliputi kebanyakkan bahagian badannya, gambaran sebenar rupa bentuk trak pikap ini masih lagi samar.

Seperti yang diketahui sebelum ini, Mercedes X-Class dibina berasaskan trak pikap Nissan Navara NP300. Bahagian sisi kabin X-Class ini masih kelhatan seiras dengan Navara, namun ruang roda X-Class direka lebih minimalis berbanding Navara yang direka lebih menyerlah. Secara keseluruhan juga, X-Class direka lebih ringkas dengan menghilangkan garis badan bahagian atas Navara yang bermula dari fender hadapan hingga bahagian permulaan pintu hadapan.

Pada bahagian belakang pula, lengkuk pada pintu ruang kargo Merc ini juga kelhatan seiras dengan Navara. Perbezaan dlihat pada bahagian sisi ruang kargo dimana X-Class direka landai, manakala Navara direka tegak dan rata.

Walaupun berkongsi platform, X-Class bakal menggunakan enjin diesel dari Mercedes sendiri. Varian tertinggi trak pikap Merc ini bakal dijana enjin diesel V6 3.0 liter. Masih belum disahkan angka kuasa kudanya, namun pada versi kereta penumpang, enjin berkenaan mampu menjana 258 hp dan tork maksima 620 Nm.

Manakala untuk varian lebih rendah, X-Class bakal diberikan enjin diesel empat-silinder, tetapi masih belum dapat dipastikan adakah ia akan menggunakan enjin dari Merc sendiri atau dari pengeluar lain. Bagi transmisi pula, X-Class bakal diberikan kotak gear tujuh- atau sembilan-kelajuan automatik Mercedes-Benz sendiri, digabungkan dengan sistem pacuan empat roda 4Matic.

Sebelum ini, Mercedes mendakwa X-Class mampu membawa beban sehingga 1.1 tan dengan kapasiti menunda 3.5 liter. Trak pikap ini dijangka bakal melakukan kemunculan sulungnya dalam bentuk produksi sebenar tahun ini.