Renault telah mempersembahkan jentera lumba Formula 1 pasukan itu bagi musim 2017, dikenali dengan nama R.S.17 di London. Ini adalah sejurus selepas pasukan Sauber memperkenalkan jentera pesaing, C36-Ferrari, serta jentera pasukan Williams FW40 2017.
Musim baru ini Renault menampilkan jentera yang kekal dengan warna yang sinonim dengannya, kuning tetapi dengan lebih banyak dekorasi hitam. Bahagian depan dan sayap belakangnya mirip elemen yang ada pada jentera pasukan Williams dan Sauber; bahagian “sirip” pada R.S.17 ini juga dijangka akan digunakan pada kebanyakan jentera lain bagi musim 2017.
Enjin baru, yang digelar RE17 akan menjadi nadi utama, yang menampilkan rekaan baru berbanding enjin yang digunakan pada musim lalu; Renault merasakan rekaan enjin lama itu telah mencapai potensi maksimumnya, seperti dilaporkan Motorsport.com. Prestasi enjin baru ini disifatkan tiga saat lebih pantas bagi setiap pusingan.
Casis jentera baru ini dibangunkan di Enstone, UK sementara enjin pula dibuat di Viry-Châtillon, Perancis. Jentera itu kini hadir dalam dimensi 2,000 mm lebar serta track bahagian depan dan belakang masing-masing 1,600 mm dan 1,550 mm. Tayar yang lebih besar juga digunakan.
“Jentera ini jauh lebih pantas, dengan rekaan luaran yang lebih menarik yang akan menjadikan perlumbaan ini semakin ditunggu-tunggu. Dari segi prestasi, peningkatan dijangkakan 5% bagi tahun ini. Maksudnya, kita akan lihat masa bagi satu pusingan menjadi tiga atau empat saat lebih pendek,” jelas pengarah teknikal, Bob Bell. “Jentera ini juga akan memiliki cengaman yang lebih baik diselekoh. Kami mengharapkan perkara ini akan menjadikan perlumbaan itu lebih baik,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.