Satu lagi model yang terletak dalam barisan motosikal klasik moden diperkenalkan oleh pengedar rasmi Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd iaitu Street Cup 2017. Model ini mempunyai gaya seperti Thruxton R, tetapi dibina daripada asas model Street Twin. Harga yang ditetapkan untuk Street Cup 2017 adalah RM65,900, termasuk GST.

Enjin yang digunakan pada Street Cup 2017 adalah unit 900 cc SOHC High Torque dua silinder selari, sama seperti Street Twin dan ia mampu menghasilkan 54 hp pada 5,900 rpm dan 80 Nm pada 3,250 rpm. Walaupun mempunyai sistem bahan api yang kelihatan seperti karburetor, ia sebenarnya menggunakan sistem suntikan dan kuasa dihantar ke tayar belakang melalui kotak gear lima kelajuan.

Membantu lagi kepuasan kepada penunggang, motosikal ini dilengkapi dengan torque assist clutch, dan sebagai keselamatan, sistem ride-by-wire yang digunakan membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (Traction Control) yang boleh ditutup apabila perlu dan brek ABS.

Bahagian yang paling jelas berbeza jika dibandingkan dengan Street Twin adalah tempat duduk berpenutup di belakang (boleh dicabut), fly-screen, pemegang jenis drop-bar, cermin sisi di hujung pemegang, warna dua tona serta ekzos stainless steel yang lebih pendek dan mendongak ke atas.

Selain itu, suspensi belakang Street Cup juga lebih tinggi, tetapi jarak pergerakannya masih sama seperti Street Twin iaitu 120 mm. Ini seterusnya menjadikan Street Cup lebih lincah. Turut tidak ketinggalan adalah bahagian brek baru – angkup Nissin sliding axial dua piston dan cakera terapung, manakala tempat letak kaki pula menggunakan rekaan seperti Thruxton.

Satu sentuhan menarik yang diberi pada Street Cup, sesuai dengan keperluan penunggang moden sekarang adalah soket pengecas USB di bawah tempat duduk dan boleh digunakan untuk memberi kuasa kepada alat elektronik seperti telefon dan unit GPS. Bagi mereka yang mencari sesuatu yang lebih istimewa, Triumph juga menawarkan lebih 120 aksesori untuk Street Cup.

Dua pilihan warna disediakan kepada orang ramai untuk Triumph Street Cup 2017 iaitu Racing Yellow/Silver Ice dan Jet Black/Silver Ice. Harga RM65,900 yang ditetapkan untuk Street Cup ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Ia kini sudah berada di pusat pameran Triumph di Petaling Jaya.