Dengan ketibaan model yang ditunggu-tunggu, Toyota C-HR ke pasaran Australia, Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) telah mengeluarkan laporan keselamatan bagi crossover segmen-B itu. Menariknya, C-HR telah menerima penarafan lima-bintang (berdasarkan ujian Euro NCAP), yang boleh diguna pakai bagi semua varian model di Australia dan New Zealand.

Bagi ujian perlindungan penumpang dewasa (AOP), C-HR menerima markah sebanyak 33.18 daripada 38 mata penuh, sementara perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula memperolehi pematuhan sebanyak 77%, dengan 38.03 dari 49 mata.

Manakala bagi ujian bantuan keselamatan pula menerima pematuhan sebanyak 68% (8.18 daripada 12 mata), dengan C-HR memperoleh markah dari semua aspek termasuk pengingatan pemakaian tali pinggang keledar, sistem sokongan lorong dan brek kecemasan sendiri (AEB), kecuali sistem bantuan kelajuan.

Untuk kit keselamatan bagi C-HR spesifikasi Australia, kesemua model dilengkapi dengan tujuh beg udara, Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Active Cruise Control (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDA), High Beam automatik (AHB), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik (RCTA). Walau bagaimana pun, ia tidak dilengkapi dengan pengesan pejalan kaki seperti mana model spesifikasi Eropah.

“C-HR adalah contoh bagi model mampu milik yang lengkap dengan keselamatan tahap tinggi bagi semua aspek penilaian. Sebagai model baharu dalam segmen SUV Kompak, kelayakan keselamatan adalah penting bagi menawan hati para pelanggan, malah ciri-ciri utamanya diberikan secara standard,” ujar CEO bagi ANCAP, James Goodwin.

C-HR pasaran Australia dijana oleh enjin 1.2 liter turbo empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus D-4T dan VVT-iW yang membolehkan kitaran Otto konvensional berubah kepada kitaran Atkinson. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa puncak 114 hp pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 185 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.