Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

Honda CR-V 2017 direncanakan bakal dilancar secara rasmi di Thailand pada 24 Mac ini. Tetapi, belum pun tiba ke tarikh itu, wakil media Thailand diberikan peluang awal untuk mendekati model berkenaan dalam satu sesi pandu uji di litar Buriram.

Portal automotif di sana, Headlight Magazine telah pun menerbitkan pengalaman awal pandu uji bagi model Honda CR-V 1.6 i-DTEC Diesel Turbo 9AT. Laporan berkenaan antara lain mendedahkan beberapa perincian lain pada model SUV generasi kelima itu.

Sekali pandang, ia hampir serupa dengan model yang diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Antarnya, pilihan lampu utama LED, yang dipadankan sekali dengan rekaan Solid Wing Face oleh Honda. Selain itu, lengkung tayar yang menonjol, D-pillar dengan tingkap kecil serta lampu LED di belakang dengan rekaan bentuk L. Rim 18 inci sama juga kelihatan; model lebih rendah datang dengan rim 17 inci.

Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

Perbezaan yang lebih ketara dapat dilihat pada bahagian dalam. Senireka umumnya kekal sama, dengan bahagian tengah yang “terapung”, paparan skrin TFT LCD dan stereng tiga-jejari seperti Civic antara yang mirip dengan model pasaran US.

Kelainan paling utama tentunya kerusi barisan ketiga, menjadikannya hadir dengan tujuh-tempat duduk. Baris kedua dan ketiga boleh diturunkan; barisan kedua juga turut boleh dianjakkan ke depan dan belakang seperti biasa. Corong pendingin hawa sendiri juga ada untuk barisan kedua dan pada bahagian bumbung untuk barisan ketiga.

Untuk pasaran Thailand, dua pilihan enjin ditawarkan. Varian paling rendah menggunakan enjin 2.4 liter K24 DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm pada 4,000 rpm. Transmisi pula dari jenis CVT Earth Dreams.

Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

Varian paling tinggi pula dilengkapi enjin 1.6 liter N16 DOHC i-DTEC turbodiesel, dengan janaan kuasa 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm pada 2,000 rpm. Menariknya, varian ini menggunakan padanan transmisi sembilan-kelajuan automatik dari ZF. Sistem pacuan 4WD pula turut ditawarkan bagi kedua-dua varian.

Keseluruhannya, CR-V 2017 di sana merangkumi empat model; 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Ia turut disertakan antaranya dengan lampu kabus LED, masukan tanpa kunci dengan ciri Walk Away Auto Lock, butang Push Start, kemasan kayu, kemasan kulit bagi tempat duduk serta kawalan pendingin dual-zon. Ia turut disertakan dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi ciri keselmatan, ia antaranya hadir bersama ABS dengan EBD, brake assist, kawalan kestabilan (VSA) dan Agile Handling Assist (AHA). Warna yang ditawarkan termasuk Dark Olive Metallic, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Orchid White Pearl dan Crystal Black Pearl. Perincian lanjut mungkin akan diketahui pada hari pelancarannya kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required