Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu. Ini termasuklah beberapa video yang ditularkan pada minggu lalu, apabila beberapa pemandu dikesan memandu melawan arus, antaranya yang berlaku di Taiping dan satu kejadian yang melibatkan kemalangan maut di Pulau Pinang.

Menganggap ia sangat serius, Kementerian Pengangkutan mengambil keputusan untuk menyemak semula hukuman bagi pemandu cuai yang menyebabkan kematian termasuk memperkenalkan undang-undang yang lebih berat dan setimpal, laporan Berita Harian.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, hukuman sedia ada tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. Katanya, pihak kementerian mengambil maklum saranan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang mahu undang-undang lebih tegas diperkenalkan.

“Sudah banyak kali kejadian melibatkan pemandu cuai termasuk yang memandu melawan arus dilaporkan dan minggu lalu di Pulau Pinang yang membabitkan pemandu remaja yang berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian pengguna lain dan ini adalah kesalahan yang amat serius. Disebabkan bimbang dengan peningkatan kemalangan maut akibat pemandu cuai, satu langkah drastik termasuk pengenalan undang-undang lebih ketat perlu dilakukan sebagai pengajaran dan kesedaran awam,” ujar Ab Aziz.

Katanya lagi, buat masa ini,pemandu cuai yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

“Kementerian Pengangkutan akan menilai semula undang-undang sedia ada termasuk memasukkan hukuman lebih berat terhadap pemandu cuai selain pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA),” katanya lagi.