Permainan untuk orang dewasa, dari memori zaman kanak-kanak. Kurang lebih begitulah Toyota ingin memperkenalkan sebuah model konsep yang baru dihasilkan dari sebuah trak pikap Hilux, dikenali dengan nama Toyota Hilux Tonka Concept.

Dibangunkan oleh 150 individu dari bahagian perancangan produk dan pembangunan Toyota Australia, versi unik ini turut menandakan sambutan ulang tahun Toyota (ke-80) dan Tonka (ke-50) tahun ini. Ia dibangunkan berdasarkan Hilux dengan spesifikasi paling tinggi, Hilux SR5 2.8 liter turbodiesel yang dijual di Australia.

Enjin berkenaan menjana 174 hp dan 420 Nm tork. Ia turut menerima banyak modifikasi untuk menjadikannya membawa imej sebuah kenderaan yang mampu mengharungi laluan apa saja. Tingginya dinaikkan sebanyak 150 mm, digandingkan dengan gandar dan suspensi tugas berat yang juga tinggi, dengan tayar berdiameter 35-inci.

Dari segi penggayaan, palang bahagian depan adalah tambahan baru, sementara bonet diberikan kemasan ala gentian karbon serta bukaan corong udara. Untuk suasana gelap, model konsep ini dilengkapi dengan lampu LED pada palang hadapan serta di baagian bumbung.

Untuk memastikan komponen-komponen penting sentiasa terlindung, plat aloi setebal 6 mm digunakan, begitu juga dengan tiub tubular sisi untuk melindungi badan kenderaan dan casisnya. Perubahan tambah ketara di belakang, dengan lampunya dibalut dengan elemen gentian karbon. Ada juga penggunaan spoiler bersepadu dan dua corong udara.

Banyak lagi kelengkapan lain yang turut ditambah untuk menampakkan sisi maskulin pada trak pikap ini dalam persekitarannya yang “liar” – kapak, pemadam api, penyodok serta alatan keselamatan off-road lain. Nampak mengiurkan? Tetapi sayangnya, ia bukanlah bertujuan untuk dijual dan tidak akan dipamer dibilik pameran di sana.