Semalam kita sudah melihat pengenalan Toyota Hilux Tonka Concept dengan rekaan yang agak agresif. Hari ini, kita lihat pula trak pikap yang sama dalam penampilan yang sedikit lebih sederhana, tetapi tidak kalah menarik – dan boleh dimiliki oleh peminatnya di Australia.
Untuk pasaran di sana, Toyota Hilux kini ditawarkan dengan pakej aksesori Toyota Racing Development (TRD), yang melibatkan 15 komponen baru – tujuh daripadanya dihasilkan sendiri oleh Toyota. Ia bagaimanapun ditawarkan hanya pada varian dengan spesifikasi paling tinggi SR5, dalam warna hitam atau putih sahaja.
Antara kelainan ketara melibatkan bahagian depan, seperti gril honeycomb, pelindung bampar dan skid plate merah. Bahagian fender berwarna matte black memberikan imej tegap, dilengkapi dengan palang sport hitam serta rim 18-inci aloi.
Disamping semua aksesori berkenaan, turut melengkapi versi ini ialah kit tunda (termasuk cangkuk dan kabel), pelapik ruang barangan belakang, pelindung lampu belakang serta mud guard TRD. Di dalam, pengalas kaki TRD serta tombol gear turut menghiasinya.
Ini semua merupakan tambahan kepada ciri sedia ada Hilux SR5; lampu utama LED pelarasan automatik, masukan tanpa kunci, butang Push Start, kawalan udara, cruise control, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik, skrin sentuh dengan sistem navigasi dan sebagainya.
Dari segi keselamatan, Hilux SR5 hadir dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, kawalan olengan belakang, Hill Start Assist dan kawalan menuruni bukit. Ia turut dilengkapi electronic tranfer case dan rear locking differential. Enjin pula dengan kapasiti 2.8 liter 1GD-FTV turbodiesel dengan janan kuasa 177 PS dan 450 Nm tork dengan transmisi automatik enam-kelajuan, atau 420 Nm dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Harga bagi Hilux dengan pakej TRD ini bermula A$58,990 (RM199,400) bagi warna putih dan A$59,540 (RM201,300) dalam warna hitam. Model automatik ada tambahan A$2,000 (RM6,800).
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.