Anda nampak gambar ini hanya seperti Peugeot 308 GT Line yang ada sekarang? Sebenarnya, ini adalah apa yang dikatakan sebagai Peugeot 308 facelift 2018, dan terdapat sedikit perubahan padanya. Jika betullah perkara itu, ini akan menjadi facelift yang paling ringkas pernah diberi pada model tersebut.

Jika dibandingkan dengan 308 GT Line yang ada sekarang, kereta ini ada beberapa rekaan yang berbeza, seperti bahagian dalam grilnya yang berwarna krom – sebelum ini rekaannya seperti sarang telur tapi kini kotak-kotak. Profail bampar juga diubah, dan corong udara di tepinya lebih besar dan jelas. Setelah diperhatikan juga, penampilan baru ini lebih menyerupai Peugeot 308 sedan yang diperkenalkan untuk pasaran China tahun lepas.

Rim 18 inci yang digunakan kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi lampu siang LED padanya ditukar daripada yang menyala dengan bintik-bintik kepada garisan tidak putus. Kami tidak dapat melihat dengan jelas bahagian bawah bampar, tetapi pada bahagian belakang seperti tiada perubahan dengan lampunya masih lagi menggunakan unit LED bentuk ‘cakaran’ yang sudah menjadi tanda unik jenama itu.

Bahagian dalam juga seperti tidak berubah, di mana panel instrumen dan susun atur keseluruhannya masih lagi sama. Pada bahagian tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh yang dominan manakala sterengnya menggunakan unit yang rata di bahagian bawahnya.