Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

Seawal tahun 1999, Mercedes-AMG sudah menetapkan tahap baru dengan pengenalan SUV prestasi ML 55. Kini, perkara sama dilakukan sekali lagi apabila syarikat tersebut memperkenalkan pula SUV saiz sederhana Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé, yang menggunakan enjin 4.0L V8 Twin Turbo sama seperti yang terdapat pada model AMG GT.

Enjin ini, boleh menghasilkan sehingga 476 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm dan 650 Nm tork pada 1,750 hingga 4,500 rpm, dan bagi yang mahukan lebih, Mercedes-AMG turut menawarkan varian S (Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ and GLC 63 S 4MATIC+ Coupé) bagi kedua-dua model, yang masih menggunakan enjin sama, tetapi ditala untuk memberi kuasa sebanyak 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm dan 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm.

Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan, yang pertama kali digunakan pada model Mercedes-AMG E 63 4MATIC+, dan ia dapat memberikan penukaran serta masa respon yang lebih pendek. Pengagihan kuasa kepada keempat-empat tayar pula dilakukan oleh sistem pacuan AMG Performance 4MATIC+. Sistem ini boleh menyampaikan tork yang berlainan kepada setiap tayar, bergantung kepada keadaan.

Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

Hasilnya, Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya empat saat, manakala bagi versi S, ia boleh dilakukan dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum pula ditetapkan secara elektronik pada 250 km/j.

Bagi membantu pemandu menyesuaikan kenderaan prestasi ini dengan keadaan pemanduan, ia dilengkapi dengan empat mod pemanduan AMG DYNAMIC SELECT iaitu Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Bagi setiap satu mod ini, perkiraan tindak balas enjin, transmisi, suspensi, stereng, ESP dan sistem pacuan empat rodanya akan berubah. Bagi versi S, terdapat satu lagi mod tambahan iaitu Race.

Sebagai alternatif, satu butang ‘M’ turut disediakan dan selepas ditekan, pemandu boleh mengawal pemasukan gear secara manual melalui penukar gear di stereng. Suspensi juga boleh dilaras secara sendiri jika perlu.

Bagi memastikan SUV prestasi ini kekal stabil dengan jumlah kuasa sebegitu, Mercedes-AMG telah melengkapkannya dengan suspensi udara AMG, yang mempunyai kemampuan menyerap boleh ubah sepanjang masa, dan ia boleh dilaras dalam tiga tetapan iaitu Comfort, Sport dan Sport Plus. Untuk spring, terdapat tiga tahap berbeza dan ia bergantung kepada mod pemanduan. Walaupun begitu, ia masih boleh berubah secara automatik jika keadaan memerlukan.

Bukan setakat itu, GLC 63 4MATIC+ juga didatangkan terus dengan gandar belakang limited-slip differential (LSD) mekanikal, manakala GLC 63 S 4MATIC+ menggunakan LSD gandar belakang elektronik. Alat ini bekerjasama dengan tiga tahap Electronic Stability Programme (ESP On, ESP Sport Handling Mode dan ESP Off) untuk memberi dinamik kenderaan terbaik.

GLC 63 4MATIC+ didatangkan secara standard dengan rim aloi 19 x 8.0 J di depang dan 19 x 9.0 J di belakang, dan ia diwarnakan dengan warna kelabu titanium dan dibalut dengan tayar 235/55 R 19 di depan dan 255/50 R 19 di belakang. Bagi versi S, ia menggunakan rim saiz 20 x 9.5 di hadapan dan 20 x 10.0 J di belakang. Turut disediakan adalah beberapa pilihan kombinasi rim dan tayar yang lain sehingga saiz 265/40 R 21 dan 21 x 9.5 J di hadapan dan 295/35 R 21 pada rim 21 x 10.0 J di belakang.

Pada aspek penampilan, terdapat pelbagai perkara yang dilakukan untuk menjadikannya lebih garang, dan yang utama adalah gril Panamericana sama konsep seperti GT R dan GT C. Selain itu, bamparnya juga lebih sporty seperti E 63, dengan diffuser di depan dan belakang, muncung ekzos berkembar disalut krom, lengkuk roda lebar dan spoiler di atas bumbung.

Pada bahagian dalam, kulit jenis Artico boleh dilihat diguna secara meluas, termasuk pada panel instrumen (dengan jahitan yang kontras) dan tempat duduk sport, dan ia dipadankan dengan gentian mikro Dinamica di beberapa bahagian.

Bagi model S, kelengkapan yang diberi termasuk stereng prestasi yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica, sulaman lencana AMG pada penyandar kepala hadapan serta panel instrumen AMG dengan kemasan berwarna merah.

Mercedes-AMG GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé – SUV saiz sederhana dengan enjin 4.0L V8

Mercedes juga menawarkan pelbagai kelengkapan tambahan bagi mereka yang ingin menjadikan kenderaan lebih menarik, termasuk Night Package, Exterior Carbon Fibre Package dan dalaman Performance Studio. Paling eksklusif adalah pakej Edition 1, yang selain mempunyai pelbagai kelengkapan, turut diberikan penampilan yang lebih ke arah perlumbaan termasuk kit aerodinamik.

Menurut Mercedes, GLC 63 4MATIC+ dan GLC 63 4MATIC+ Coupé akan mula dijual pada bulan Jun 2017, manakala pelancaran pasaran akan dilakukan pada bulan September 2017.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required