Lanjutan daripada berita berkenaan Go Auto bakal membawa SUV segmen-C H6 Coupe dan SUV ladder frame H9, kami baru sahaja mendapat sedikit lagi pengesahan berkenaan spesifikasi dan juga harga dari CEO Go Auto En. Ahmad Azam Sulaiman semasa di Auto Shanghai 2017.

Menurut En. Azam, H6 Coupe bakal hadir ke Malaysia hanya dalam varian 2.0 liter Turbo manakala H9 juga dengan enjin 2.0 liter petrol turbo tanpa pilihan versi diesel. Kedua-dua SUV ini bakal dibawa ke Malaysia pada suku ketiga atau keempat tahun ini dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

Untuk H6, ia dijangka bakal dijual pada pasaran tempatan dengan harga bermula RM115,000. Enjin 2.0 liter turbo SUV ini mampu menjana 194 hp/315 Nm, dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik DCT 6-kelajuan. Sebagai perbandingan, SUV turbo sekelasnya, VW Tiguan 1.4 TSI berkuasa 148 hp/250 Nm, Hyundai Tucson 1.6 turbo yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berkuasa 176 hp/265 Nm, manakala CR-V 1.5 liter VTEC Turbo dijangka menghasilkan sekitar 190 hp/243 Nm.

Untuk pasaran China, H6 turut hadir dalam versi 1.5 turbo, tetapi buat masa sekarang Go Auto tidak bercadang untuk membawanya ke Malaysia – mungkin dikhuatiri bakal bertindan dengan SUV segmen-C H2 yang telah pun berada dalam pasaran tempatan buat masa ini.

Model ini turut diprebiu kepada kami ketika lawatan ke kilang Haval di Baoding. Agak mengejutkan, kualiti kenderaan keluaran terkini Haval di bina menggunakan material yang agak premium. Bahagian dalaman dipenuhi dengan material sentuhan lembut, serta upholsteri kulit yang kelihatan benar-benar premium, disamping komponen-komponen plastik yang begitu solid sama ada pada mata mahupun sentuhan.

Kami tidak diberikan spesifikasi bertulis, tetapi apa yang dapat dilihat ia dilengkapi dengan skrin paparan pelbagai informasi TFT berwarna, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, tuil gear ala-Audi bersama pedal penukar gear, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta pelbagai lagi.

Untuk H9 pula, ia bakal dijual pada harga sekitar RM140,000 di pasaran Malaysia. SUV ladder frame ini bakal menggantikan model H5 pada pasaran tempatan, dan akan bersaing dengan Isuzu MU-X, Toyota Fortuner, Ford Everest dan sebagainya. Enjin 2.0 liter empat silinder dengan sistem suntikan petrol terus berkenaan mampu menghasilkan kuasa 158 hp dengan tork maksima 324 Nm bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm.

Enjin tersebut digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan dari ZF. Ketika sesi prebiu berkenaan juga, kami dibawa ke litar ujian kilang Haval menaiki H9 ini. Sekali lagi kami teruja, H9 memberikan NVH yang cukup baik, tanpa ngauman dari enjin seperti SUV sekelasnya yang lain.

Seperti juga H6, H9 juga diberikan kelengkapan yang sangat premium. Ia juga turut diberikan running board yang boleh dilipat dan disorokkan, dan hanya keluar secara automatik ketika pintu dibuka. Untuk pasaran China, H9 hadir dalam tiga varian iaitu Standard, Luxury dan Super Luxury – yang mana akan dibawa ke Malaysia masih lagi belum dapat dipastikan. Tetapi, En Azam mengesahkan, unit-unit yang bakal dibawa ke Malaysia bakal menerima 99% kualiti yang sama seperti apa yang terdapat pada pasaran China.

GALERI: Haval H6 Coupe 2.0 GDIT

GALERI: Haval H9 2.0L Turbo 4X4