Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

Masih lagi saya ingat ketika berkunjung ke Kuala Lumpur International Motor Show 2006 (waktu itu saya masih bergelar pelajar), sebuah kereta buatan China turut dipamerkan di situ, memperlihatkan kualiti yang agak teruk – termasuk gam pada lampu hadapan yang jelas kelihatan ‘bersepah’.

Sejak daripada itu, saya sering skeptikal dengan kenderaan buatan China yang saya sifatkan seperti kereta-kereta permainan kawalan jauh keluaran negara Republik Rakyat tersebut – nampak cantik dari jauh, main sebulan kemudian punah.

Pastinya tidak hanya saya, malah persepsi negatif sedemikian masih lagi menebal dikalangan sebilangan besar rakyat Malaysia bukan? Disebabkan skeptikal ini juga pelbagai jenaka yang ditimbulkan ketika syarikat pengeluaran kenderaan dari China – Geelydilaporkan turut disenarai pendek sebagai syarikat yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik luar untuk Proton.

Pertengahan bulan lalu, saya diberi peluang untuk membuat liputan ke Auto Shanghai 2017 – acara pameran automotif terbesar di dunia yang menghimpunkan bukan sahaja jenama-jenama tempatan China, malah nama-nama besar dari seluruh dunia.

Saya pergi bersama rombongan media permotoran tanah air yang di bawa oleh Go Auto iaitu wakil pengedar untuk pasaran Malaysia bagi SUV jenama Haval yang berasal dari China. Rombongan kami tidak terus ke Shanghai, sebaliknya terlebih dahulu mendarat di Beijing untuk lawatan ke kilang Haval yang terletak di Baoding.

Sebaik mendarat dan mula menyelusuri jalan darat Republik berkenaan, tentulah mata saya tertumpu pada kenderaan-kenderaan yang terdiri dari pelbagai jenama dan varian yang tidak terdapat di Malaysia. Selain dari jenama-jenama tempatan dan juga dari Amerika seperti Buick, Cadillac, Jeep dan sebagainya, jenama dari Jerman iaitu Volkswagen antara yang membanjiri jalan raya di sana.

Untuk pengetahuan anda, selepas pintu perdagangan China dibuka pada tahun 1978, Volkswagen merupakan antara jenama pertama yang dapat masuk kepasaran tersebut. Volkswagen Santana, iaitu model yang diasaskan dari Passat generasi kedua telah mula dipasang di China oleh Shanghai Tractor Automobile Corporation (STAC) pada tahun 1982 dengan 100 kit CKD awalan yang diimport dari Jerman.

Kemudian pada tahun 1984, VW berjaya memeterai perjanjian dengan STAC bersama China National Automotive Industry Corporation (CNAIC) dan Bank of China untuk membentuk pakatan Shanghai Volkswagen Automotive pada Oktober 1984. Pakatan tersebut memulakan produksi Santana pada tahun 1985, dan produksi ke-10,000 berjaya dicapai dalam masa tidak sampai setahun.

Jika ke China, anda tidak akan jumpa kereta-kereta lama seperti Toyota Corolla EE80, Nissan Sunny 130Y, Mazda 323 dan sebagainya, yang ada hanyalah Santana lama. Model ini boleh dikatakan agak ikonik di negara berkenaan dan model-model awalnya masih lagi dapat dilihat digunakan sebagai teksi – seperti Saga dan Iswara di Malaysia. Anda ingat lagi kereta yang direstorasi dan kemudian dijahanamkan kembali oleh Jackie Chan dalam filem Karate Kid 2010? Itulah dia Volkswagen Santana.

Santana merupakan antara sejarah moden industri gergasi automotif di China. Dengan populasi lebih dari 1.3 bilion orang, lebih dari 20 juta kenderaan boleh dijual dalam pasaran automotif domestik di China untuk masa setahun. Sebagai perbandingan, hanya sekitar 600,000 unit kenderaan yang mampu dijual dalam Malaysia dalam tempoh yang sama – betapa kerdilnya pasaran kita berbanding China.

Dengan pasaran sebesar ini, dianggarkan lebih dari 100 jenama dari China sendiri mampu berdiri dalam pasaran domestik (terdiri dari pembuat kereta penumpang, kenderaan perdagangan dan juga motosikal) tanpa mengharapkan jualan eksport. Kebanjiran jenama-jenama tersebut menyebabkan rakyat mereka sendiri tidak mengetahui sepenuhnya jenama-jenama tempatan yang ada disekeliling mereka.

Satu perkara lagi yang menarik, dengan pasaran sebesar itu, pengeluar-pengeluar di China mampu memberikan pelbagai pilihan model dalam satu segmen yang sama. Volkswagen misalnya, untuk model sedan segmen-C sahaja mereka mempunyai model Santana generasi baharu, Lavida, Sagitar, Jetta dan Lamando – yang mana kesemuanya mempunyai rupa yang tersendiri. Ini juga terjadi kerana Volkswagen diedar oleh dua pengedar berbeza di China iaitu FAW-VW dan juga Shanghai-VW.

Begitu juga dengan Honda, untuk sedan segmen-B mereka bukan sahaja mempunyai City, malah turut menghasilkan model Crider – menggunakan asas yang sama tetapi penggayaan yang sepenuhnya berbeza dari City.

Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

Bukan hanya segmen-B, Honda turut menghasilkan pasangan Spirior dan Accord untuk segmen-D serta Vezel (HR-V) dan XR-V untuk SUV segmen-B. Perkara ini sebenarnya dapat meluaskan pilihan pengguna di sana – jika Accord kelihatan lebih ‘orang tua’, mereka boleh pilih Spirior yang lebih sporty dan ia masih lagi Honda.

Tetapi apakah akibat jika Honda membuat perkara yang sama untuk pasaran kecil seperti di Malaysia? Pertamanya, kos untuk menghasilkan dua buah model yang berlainan dengan jumlah yang sedikit tentunya meningkatkan kos produksi. Kemudian, kedua-dua model berkenaan berpotensi untuk membunuh sesama sendiri dalam pasaran.

Pasaran China juga merupakan ‘lubuk wang’ untuk pengeluar-pengeluar kenderaan mewah dari seluruh dunia. Bak kata wakil salah seorang Go Auto yang mengiringi kami – masih lagi bujang pada usia 30-tahun, salah satu perkara yang boleh memudahkan pemuda China untuk berkahwin adalah dengan memiliki BMW.

Anda boleh lihat banyak model mewah yang khas dibuat untuk pasaran China oleh pengeluar-pengeluar sedemikian kerana setiap permintaan pada pasaran negara tersebut pastinya akan memberikan pulangan yang menguntungkan, misalnya BMW 1 Series sedan dan juga pelbagai lagi model versi jarak roda panjang (dengan lencana ‘L’ dibelakang) dihasilkan oleh Audi, Mercedes-Benz, Volvo dan juga BMW.

Pasaran yang besar ini juga membolehkan pelbagai kenderaan pelik boleh dilihat pada jalan raya negara berkenaan – dari kereta elektrik yang bersaiz lebih kecil dari Smart Fortwo, sehinggalah lori sebesar lori satu tan di Malaysia tetapi hanya mempunyai tiga roda. Dengan kualiti udara yang teruk juga, jenama-jenama tempatan dilihat kini banyak menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya, seperti BAIC EV200.

Tetapi, adakah dengan pasaran dalam negara yang begitu selesa membuatkan jenama-jenama dari China tidak mahu bersaing pada pasaran luar? Untuk bertarung di peringkat global bermaksud pengeluar-pengeluar berkenaan perlu untuk menghasilkan produk yang setara dengan jenama dari Eropah, Amerika mahupun Jepun, bukan sekadar menyediakan kenderaan yang boleh bersaing hanya dari segi harga.

Tidak dinafikan banyak lagi jenama China yang masih ketinggalan dari segi kualiti, tetapi ada juga yang nampak serius untuk masuk ke pasaran global.

Antara jenama yang serius berkenaan adalah Haval – jenama yang dulu dikenali sebagai Great Wall Motors, kini menumpukan hanya pada penghasilan SUV. Kunjungan kami ke ‘wilayah’ mereka di Baoding, iaitu lebih kurang 150 km dari Beijing benar-benar membuka mata dan merasa betapa kerdilnya kita dalam industri automotif.

Sebelum ke kilang, kami terlebih dahulu ke pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), iaitu fasiliti dengan bangunan 25 tingkat pada gambar paling atas artikel ini. Ya, fasiliti mega berkenaan adalah hanya untuk R&D dan bukan sebahagian dari kilang pengeluaran. Bangunan ini beroperasi dengan 7,000 orang pekerja yang turut dianggotai oleh sebahagian tenaga pakar dari luar China, antaranya Pierre Leclercq iaitu bekas ketua pereka BMW.

Ia dilengkapi dengan peralatan ujian yang setanding dengan apa yang ada oleh pengeluar Eropah termasuk terowong angin, makmal ujian altitud tinggi, keserasian elektromagnet, bilik akustik untuk ujian NVH serta pelbagai lagi.

Blok-blok apartment kediaman dibina bersebelahan pusat R&D ini khas untuk pekerja-pekerja Haval sahaja, lengkap dengan kemudahan lain seperti sekolah dan sebagainya. Pusat R&D ini juga turut mempunyai ruang khas mempamerkan model-model serta teknologi konsep yang dibangunkan oleh Haval dan telah didedahkan sebelum-sebelum ini.

Selesai lawatan di sini, kami dibawa pula ke kilang Xushui yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat R&D berkenaan. Selain dari tenaga manusia, kilang ini turut dipenuhi pelbagai robot terkini untuk menghasilkan kereta. Tiada beza dengan kilang-kilang Jepun dan Eropah, kilang besar milik Haval ini sangat tersusun dan bersih (lantai kilat di mana-mana!) serta dioperasikan oleh pekerja-pekerja yang sangat berdisiplin.

Habis lawatan kilang, kami dihidangkan dengan produk-produk terbaharu Haval untuk diprebiu, termasuk dua model yang bakal dibawa ke Malaysia iaitu SUV segmen-C H6 dan juga SUV 4×4 ladder frame H9.

Kami terus diberikan kejutan semasa sesi prebiu ini – walaupun rupa SUV-SUV ini masih lagi tipikal buatan China iaitu dengan rekaan-rekaan yang disadur dari jenama luar dan masih lagi belum mempunyai identitinya tersendiri, tetapi kualiti yang dipersembahkan pada komponen-komponennya jelas jauh lebih maju dari sebelum ini.

Selain dari teknologi seperti enjin suntikan bahan api terus, pengecas turbo dan juga transmisi klac berkembar (DCT), model-model baharu Haval ini diberikan bahagian kabin yang penuh dengan material sentuhan-lembut dan juga bermutu tinggi.

Kulit yang membaluti tempat duduk begitu lembut dan menghasilkan bau hampir kepada kereta Eropah, hampir kebanyakkan bahagian pada papan pemuka dan panel-panel pintu adalah lembut ketika dipegang (kurang plastik seperti baldi ketika diketuk), sehinggakan pemegang pintu juga diberikan balutan bahan bergetah.

Perincian-perincian kecil juga diberi perhatian contohnya suis-suis kawalan audio, penghawa dingin dan juga tingkap berkuasa kini lebih solid, tidak terasa loose, serta cetakan simbolnya juga kelihatan bermutu. Ketelitian produk-produk baharu Haval ini diserlahkan sehingga kepada unit-unit kunci pintarnya yang nampak sangat premium – menunjukkan betapa seriusnya mereka untuk bersaing diperingkat global.

Dalam kenyataan CEO Go Auto, En. Ahmad Azam Sulaiman sebelum ini, H6 dan H9 CBU yang bakal dibawa kepasaran Malaysia pada suku ketiga atau keempat 2017 bakal menerima kualiti yang 99% sama seperti apa yang kami saksikan pada hari berkenaan. Jadi, untuk mereka yang merancang untuk membeli SUV baharu pada tahun ini, saya rasa tidak rugi untuk anda menyenaraikan bilik pameran Haval sebagai salah satu tempat yang perlu dikunjungi dalam membuat senarai pendek kereta mana yang perlu dibeli kelak.

Kilang Xushui turut mempunyai litar ujian yang sangat besar, di mana kami turut dibawa melihat litar tersebut dengan menaiki H6 dan H9. Selain dari mendemonstrasikan kadar NVH kedua-dua SUV tersebut yang agak baik, Haval juga berbangga untuk menunjukkan litar’sendeng’ kelajuan tinggi mereka yang boleh menguji kereta sehingga kelajuan maksima 240 km/j.

Untuk keseluruhan, Haval kini berupaya untuk menghasilkan sejumlah satu juta kenderaan setahun menerusi kilang Xushui ini dan juga sebuah lagi kilang di Tianjin. Syarikat berkenaan kini mempunyai kakitangan seramai 70,000 untuk menjalankan setiap operasinya. Seperti juga pada pusat R&D Baoding, kilang Xushui dan Tianjin turut mempunyai kawasan seperti wilayahnya yang tersendiri, lengkap dengan tempat kediaman, sekolah dan pelbagai lagi.

Haval juga kini sudah mempunyai jenama mewahnya sendiri iaitu WEY, yang diwujudkan sama seperti konsep Toyota-Lexus, Honda Acura, atau Nissan-Infiniti. Selain Haval, Geely juga dilihat telah melancarkan jenama mewahnya iaitu Lynk & Co.

Secara jujur, kunjungan saya ke China kali ini berjaya melunturkan sedikit sebanyak persepsi saya terhadap produk-produk automotif republik berkenaan. Mereka mungkin belum dapat mencapai identiti mereka sendiri seperti apa yang telah dikecapi Jepun pada masa sekarang, produk-produk mereka juga belum lagi menerima pengiktirafan dari barat seperti apa yang diraih Korea pada masa kini, tetapi percayalah, mereka kini sedang menuju kearah itu.

Oh ya, Auto Shanghai 2017 juga telah berjaya ‘menyeksa’ kaki saya. Apa tidaknya, dengan kebanyakkan jenama global menyertai acara ini serta turut menampilkan lambakan jenama tempatan, auto show berkenaan diadakan dengan menggunakan lapan buah dewan, yang setiap satu daripadanya lebih besar dari sebuah dewan di PWTC!.

GALERI: Pusat R&D Baoding dan Kilang Xushui Haval

GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di Pusat R&D

GALERI:Pemandangan sekitar jalan raya di China

GALERI: Haval H6 Coupe 2.0 GDIT

GALERI: Haval H9 2.0L Turbo 4X4

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required