Laporan sebelum ini menyebut Zhejiang Geely dijangka bakal memulakan bidaan untuk tempat sebagai rakan strategik asing Proton, pada awal minggu ini. Proton ketika ini sedang memberi fokus untuk memilih rakan strategiknya, dan ada laporan mengatakan Geely kini sedang bersaing sengit dengan Groupe PSA (pemilik Peugeot dan Citroen) untuk tempat tersebut.

Menurut sumber yang rapat dengan proses tersebut, Geely bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran berkenaan. Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan bersama Volvo, dedah sumber berkenaan.

Teknologi yang dimaksudkan berkemungkinan besar termasuk platform baharu Compact Modular Architecture (CMA) yang dijadikan asas bagi pembinaan model siri-40 Volvo seperti Volvo XC40 yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan juga model-model Geely yang lain. Platform baharu berkenaan direka bagi membolehkan unit janakuasa elektrik dipadankan padanya, di mana unit janakuasa hibrid T5 Twin Engine memang dibina khas untuknya.

Sumber tersebut turut menambah, dengan menawarkan Proton berberapa teknologinya, Geely mensasarkan untuk menerjah masuk ke pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), menerusi Proton. Kerjasama yang signifikant bersama Proton ini bakal memberikan syarikat China tersebut asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD global, yang setakat ini mereka belum lagi menjual walau sebuah model RHD sedangkan pasaran global menunjukkan sejumlah lapan juta kenderaan RHD dijual di seluruh dunia setiap tahun.

Jika kerjasama Proton-Geely ini benar-benar terjadi, apakah teknologi yang bakal Proton terima? Kami tampilkan apa yang Geely ada dalam barisan model mereka, yang agak komprehensif, pada galeri di bawah.

Selain dari GC9 dan Boyue yang dipetik sebagai model yang berkemungkinan, model baharu seperti GL, GS dan juga Emgrand EC7 mungkin juga akan dipilih. Kami juga tampilkan semua model yang ditawarkan oleh Geely pada laman sesawang versi Bahasa Inggeris jenama berkenaan bagi memberikan gambaran penuh keseluruhan falsafah pembinaan mereka.

Model Boyue yang mula diperkenalkan akhir tahun lalu menampilkan rekaan agak berbeza dengan model-model sebelumnya, melambangakan signatur rekaan terkini dari jenama China berkenaan. SUV tersebut menampilkan pelbagai rekaan baharu hasil bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai empat studio rekaan Geely iaitu di Gothenburg (Sweden), Shanghai (China), Barcelona (Sepanyol), dan Los Angeles (Amerika Syarikat), dioperasikan oleh sekitar 300 pereka.

Berdasarkan gambar, bahagian dalaman Boyue ini cukup premium, dan kelengkapan yang diberikan juga agak banyak seperti skrin infotaimen lapan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem keselamatan termasuk Amaran Keluar Laluan dan adaptive cruise control (ACC).

Untuk pasaran China, Boyue yang berdimensi 4.5 meter panjang ini diberikan dua pilihan enjin. Varian asas menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 140 hp/178 Nm dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala untuk varian lebih tinggi diberikan enjin 1.8 liter turbo suntikan bahan api terus (TGDI), menawarkan dua pilihan kuasa, berdasarkan pilihan transmisi.

Enjin 4G18TD yang diiktiraf memenuhi spesifikasi Euro-5 dengan padanan kotak gear manual, ditala bagi memberikan kuasa 160 hp/250 Nm. Manakala untuk versi transmisi klac-berkembar automatik pula, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 181 hp/285 Nm. Kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan berkenaan dibina oleh Drivetrain System International (DSI), yang juga merupakan subsidiari Geely dari Australia.

Pada pasaran luar tertentu, Boyue ditawarkan dengan enjin NA 2.4 liter, menggantikan enjin 1.8 liter TGDI. Kedua-dua enjin 1.8 TGDI dan 2.4 NA tersebut turut menjana sedan GC9, yang diperkenalkan dua tahun lalu. Sedan berkenaan dikenali sebagai Borui di China manakala untuk pasaran luar tertentu, ia dikenali sebagai Emgrand GT.

Sedan mewah dengan dimensi 4,596 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,513 mm tinggi ini turut hadir dengan versi flagship 3.5 liter. Kesemua enjin pada barisan model GC9 dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Seperti juga Boyue, GC9 dilihat begitu premium di dalam gambar, disertakan dengan lampu hadapan LED, paparan Head-Up, sistem audio Infinity dengan 13-pembesar suara, kamera 360 darjah serta ACC.

Untuk model lain iaitu sedan GL, SUV GS (ditawarkan dalam versi Elegant dan Sport) dan Emgrand EC7 diberikan enjin NA 1.8 liter dan 1.5 liter, serta enjin 1.3 liter turbo baharu dari jenama China berkenaan.

Enjin 1.3 liter turbo tersebut diberikan berberapa talaan dengan kuasa bermula 127 hp hingga 131 hp, manakala tork untuk kesemua versi kekal pada 185 Nm. Tiga pilihan transmisi ditawarkan untuk enjin ini iaitu enam-kelajuan manual, enam-kelajuan klac berkembar dan juga CVT.

Untuk barisan model Emgrand, ia terdiri dari empat model. Manakala barisan standard pula, Geely menghasilkan sembilan jenis model, kesemuanya dijana enjn NA 2.0 liter, 1.8 liter dan 1.5 liter.

Secara keseluruhan, apa pendapat anda berkenaan model-model dari Geely ini? Adakah Geely akan memasarkan sebahagiannya pada rantau ini dalam versi RHD sekiranya kerjasama bersama Proton ini benar-benar berlaku? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

GALERI: Geely Boyue

GALERI: Geely GC9 Borui / Emgrand GT

GALERI: Geely GL

GALERI: Geely GS Elegant and GS Sport

GALERI: Geely Emgrand EC7

GALERI: Geely FC3

GALERI: Geely Emgrand X7

GALERI: Geely Emgrand 8

GALERI: Geely Emgrand 7

GALERI: Geely Emgrand 7 RV

GALERI: Geely GC5 RV

GALERI: Geely GC5 sedan (baharu)

GALERI: Geely GC7

GALERI: Geely SC7

GALERI: Geely GC5

GALERI: Geely GX2

GALERI: Geely GC2

GALERI: Geely MKCROSS

GALERI: Geely MK