Segmen kapcai sports menjadi meriah sejak tibanya model Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR. Ia dimiliki bukan sekadar untuk kegunaan harian, tetapi juga menjadi platform untuk modifikasi, tidak kiralah di negara mana pun. Walaupun di Malaysia kelihatannya seperti Y15ZR lebih banyak di atas jalan, peminat RS150R juga masih tidak kurang kerana mempunyai kelebihan tersendiri. Anda boleh melihatnya dalam laporan yang pernah kami keluarkan sebelum ini.
Mungkin ramai yang sudah melihat pelbagai modifikasi dilakukan pada RS150R, tetapi apa yang dilakukan oleh seorang pemilik kedai pengedar motosikal Honda di Binh Duong, Vietnam, dikenali sebagai Quang ini cukup memeranjatkan kerana motosikal tersebut dipasang dengan banyak kelengkapan daripada superbike. Malah, hasil kerjanya juga cukup kemas.
Kewujudan motoikal ini disiarkan oleh laman AutoBikes dari Vietnam, dan menurut laporannya, ia dibuat khas untuk satu acara di Ho Chi Minh. Walaubagaimanapun, pemiliknya tidak memberitahu secara terperinci berapa kosnya dan sekadar memberitahu 100 juta dong (RM19,139) dan mengambil masa satu bulan untuk disiapkan. Jika benar itulah kosnya, kami berpendapat itu mungkin kerana kebanyakan barang sudah memang beliau miliki dan tidak termasuk dalam kos itu. Atau mungkin barang superbike di sana cukup murah.
Anda tertanya mengapa? Kerana RS150R ini banyak menggunakan barangan daripada superbike dan kami akan nyatakan satu persatu. Pertamanya, rim yang anda lihat itu adalah daripada Ducati Panigale 1199, tetapi Quang mendapati ia agak sukar untuk dimasukkan sekali bersama lengan ayunnya. Jadi, beliau memilih lengan ayun yang cukup terkenal iaitu daripada NSR150 SP. Rim tadi dibalut dengan tayar slick Pirelli Diablo.
Untuk suspensi hadapan, Quang telah memilih unit Ohlins yang asalnya daripada motosikal Kawasaki ZX-10R, sementara di belakang juga menggunakan penyerap hentak Ohlins. Suspensi ini dilengkapkan sekali dengan brek cakera berkembar, serta angkup Brembo. Tuil tangan klac dan brek juga menggunakan unit dari Brembo.
Pada bahagian pemegang motosikal ini, terdapat butang fungsi seperti jentera MotoGP, dan melihatkan tanda TC pada butang tersebut, kami tidak rasa ia dilengkapi dengan Traction Control kerana tidak dinyatakan. Bahagian tepi pemegang ini juga mempunyai pelindung seperti motosikal lumba.
Quang bagaimanapun tidak melakukan ubah suai yang keterlaluan pada bahagian enjin dan ia sekadar menggunakan blok dan silinder 62 mm. Jika mengikut kiraan kasar, ia sudah menjadikan motosikal ini berkapasiti 175 cc. Operasi enjin ini, sama ada kemasukan angin, api serta suntikan bahan api boleh dilihat melalui 3 set meter digital yang diletakkan di panel tengah motosikal, dan ia juga boleh dilaras.
Menariknya, kuasa daripada enjin ini disampaikan ke tayar belakang bukannya menggunakan rantai, tetapi tali sawat. Ini adalah kerana pengubahsuaian lebih mudah dilakukan berbanding menggunakan rantai. Ekzos pula datang daripada model CBR1000RR 2016.
Untuk penampilan, dari depan, ia masih lagi mengekalkan rupa asal RS150R, dengan panel tengah serta fairing masih lagi sama, cuma bahagian lampu di atas diganti dengan unit daripada skuter Icon, sekaligus tidak mempunyai lampu utama. Lagipun, ini sekadar motosikal pameran. Bahagian ekor belakang pula datang daripada model NSR150 SP, dengan hanya satu tempat duduk.
Melalui modifikasi seperti ini, mungkin ada yang menyatakan, memanglah ia boleh jadi begitu menonjol sebab menggunakan barang-barang daripada superbike, tetapi sebenarnya, apa yang lebih menjadi perhatian adalah kekemasan yang ditunjukkan oleh Quang, kerana ia sudah seperti tahap keluar daripada kilang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Berapa kah kos modal ubah suai dan boleh lari 170km sabab tambah berat