Honda CR-V terbaru telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia ketika IIMS 2017 bulan lalu. Indonesia menjadi pasaran ASEAN kedua yang menerima SUV generasi kelima dari Honda ini. Namun, spesifikasinya berbeza dari versi yang dijual di Thailand, dan sepatutnya lebih dekat dengan versi yang akan diterima oleh pasaran Malasyia tahun ini.

Video rasmi produk berkenaan oleh Honda Indonesia ini memaparkan CR-V, dengan penekanan terhadap ciri-ciri yang melengkapi varian 1.5L Turbo Prestige. Ia ada tujuh tempat duduk, dan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo denga janaan 190 PS dan 240 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm. Turut ditawarkan ialah versi lima tempat duduk dengan enjin 2.0L dengan kuasa 154 PS dan 189 Nm.

Ciri standard bagi semua variannya ialah lampu projektor halogen, kawalan cruise, butang telefon dan audio pada stereng, skrin sentuh tujuh-inci, corong pendingin hawa di belakang, kamera undur, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, dua beg udara, VSA dan Hill-Start Assist.

Varian 1.5L Turbo pula menerima beberapa tambahan; dua corong ekzos, kemasan kayu ruang dalaman, pendingin hawa dwi-zon dengan penapis udara Nano, sistem pendingin di belakang (corong udara pada bumbung) dan operasi tanpa kunci. Skrin sentuh 9-inci dengan navigasi, kamera undur pelbagai sudut juga antara yang tersedia.

Versi 1.5L Turbo Prestige dibezakan dari yang lain dengan penggunaan lampu utama LED, lampu kabus LED dan rim lima jejari 18 inci yang lebih menonjol. Antara lain, ia juga hadir dengan pintu ruang belakang berkuasa, bumbung panoramik dan enam beg udara.

Sebagai SUV premium di Indonesia, Honda CR-V dijual pada harga 432 juta Rupiah (RM141,018) bagi varian 2.0L manakala varian 1.5L Turbo pula ialah 468 juta Rupiah (RM152,773). Sementara itu, varian tertinggi, 1.5L Turbo Prestige dijual pada harga 508 juta Rupiah (RM165,841).

Honda Malaysia kini dalam persiapan untuk memperkenalkan model ini, dengan pemasangan tempatan yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Ia juga sudah dilihat sedang diuji di jalan raya di sini, seperti yang dilihat di Genting Highland baru-baru ini.

GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige