Toyota baru saja memperkenalkan Camry 2018 untuk pasaran domestik (Jepun), dan seperti C-HR sebelum ini, kit penggayaan daripada TRD dan Modellista turut akan ditawarkan untuk sedan segmen-D ini.

Bermula dengan pilihan TRD, bahagian hadapan Camry ditampilkan dengan gril atas hitam, sementara bampar bawahnya pula lebih menonjol berbanding biasa, dan turut didatangkan dengan pencahayaan LED tambahan. Komponen lain dalam pakej ini termasuklah roda, skirt sisi baharu dan bahagian belakang yang telah dimodifikasi.

Sebagai pembandingan, kit Modellista pula lebih sedikit kurang agresif, dengan perubahan terbesar melibatkan apron bawah yang dimodifikasi dengan kekemasan krom yang lebih besar di bahagian tengah, skirt sisi, roda dan bampar belakang baharu.

Toyota masih belum mendedahkan kuasa di bawah hud Camry untuk pasaran Jepun ini, tetapi ia mungkin akan mengetengahkan juga penjana kuasa hibrid seperti pasaran US dengan menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force, bersama suntikan terus dan VVT-iE (bagi Elektrik) untuk janaan lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan minyak – termasuk dengan motor elektrik dan CVT. Manakala penjana kuasa bukan hibrid pula ialah enjin 2.5 liter dan 3.5 liter V6 turut ditawarkan bagi Camry pasaran US, bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.

GALERI: Toyota Camry 2018 (pasaran Jepun)