Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) diam-diam telah memberi peningkatan pada model Vento sedan 2017 – versi spesifikasi paling tinggunya, 1.2 TSI Highline kini menerima lampu utama LED tanpa kos tambahan.

Lampu baru berkenaan, yang tampil dengan lampu rendah dan tinggi LED serta lampu nyalaan siang dengan ciri berkenaan adalah yang sama diperkenalkan pada Polo di pasaran lain. Dengan ini, Vento menyertai Mazda 2 dan Honda City facelift dalam menawarkan penggunaan lampu LED bagi kenderaan sedan segmen B.

Selain itu, sistem infotainmen RCD 330G – dengan skrin sentuh lima inci, ciri Mirrorlink untuk antara muka telefon pintar, sambungan Bluetooth, USB dan port AUX serta slot kad SD – turut ditambah ke dalam senarai kelengkapan, yang turut diterima oleh varian 1.6 Comfortline.

Selebihnya, kelengkapan pada varian Highline kekal sama, termasuk rim aloi Syenit 16-inci, upholstery fabrik Cable, pendingin hawa automatik Climatronic dengan corong di belakang, tingkap automatik untuk semua, kawalan kruise, empat pembesar suara, empat beg udara dan kawalan kestabilan.

Dari segi mekannikal juga tiada perubahan. Enjin 1.2L TSI Turbo dengan janaan 105 PS/175 Nm dengan padanan transmisi DSG tujuh-kelajuan. Seperti dimaklumkan awal tadi, harganya masih kekal pada RM94,461 atas jalan tanpa insurans.

Volkswagen Vento 2016