SUV Volkswagen Touareg generasi seterusnya dikesan sedang diuji di atas jalan raya sebenar di Jerman tanpa sebarang penyamaran, kecuali pada lampu yang dilindungi sedikit bagi menyorokkan perinciannya.

Rekaan Touareg 2018 ini turut menggunakan elemen yang seakan sama dengan barisan SUV VW lain yang lebih kecil seperti Tiguan serta Atlas dan ia mensasarkan pasaran Amerika Syarikat. Model genarasi baharu ini kelihatan seperti sebuah Tiguan tetapi dengan saiz yang lebih besar, menampilkan rekaan lebih tajam serta lampu hadapan yang lebih tirus.

Model flagship berkenaan bakal bersaing dalam kelas SUV bersaiz besar seperti Volvo XC90, dan laporan turut menyebut ia bakal diberikan bahagian dalaman yang lebih premium serta skrin infotaimen lebih besar.

Sebelum ini, laporan Autocar menyatakan Touareg generasi baharu ini bakal diberikan varian plug-in hybrid yang mempunyai kaitan dengan unit janakuasa pada model konsep T-Prime GTE yang dipertontonkan pada Beijing Auto Show tahun lalu.

Model konsep tersebut diberikan enjin TSI 2.0 liter berkuasa 248 hp/370 Nm digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 134 hp/350 Nm. Ia mangalirkan kuasa ke transmisi lapan-kelajuan automatik, yang turut diberikan LSD bina dalam. Secara keseluruhan, sistem berkenaan membekalkan kuasa 375 hp dan tork 700 Nm, serta mampu bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada jarak 50 km.

Selain dari versi PHEV berkenaan, Touareg 2018 masih lagi ditawarkan dalam varian enjin TSI dan TDI, serta sistem pacuan semua roda 4Motion bakal diberikan standard untuk semua model. Model baharu ini dijangka bakal didedahkan sepenuhnya pada akhir tahun ini, manakala pelanggan pula bakal menerima kereta mereka pada awal 2018.