Sampai masa ini, mungkin ramai yang sudah tahu bahawa Jaguar Land Rover telah membuka satu cabang khas dalam syarikat yang digelar sebagai SVO ataupun Special Vehicle Operation. Pasukan SVO mempunyai tugas membangunkan kelengkapan naik taraf bagi kenderaan Jaguar dan Land Rover, dan antara hasil yang pernah ditunjukkan adalah Land Rover Project Hero dan Jaguar XE SV Project 8.

Terbaru, Land Rover mengumumkan penawaran kit SVO Design Pack, khas untuk pemilik Range Rover, tidak kira sama ada model baru atau lama (bermula daripada model Range Rover generasi semasa, jarak roda standard yang dikeluarkan pada tahun 2013).

Melalui pakej yang dijual pada harga £10,400 (RM57,000) di United Kingdom ini, pembeli dapat menikmati peningkatan gaya luar Range Rover, yang merangkumi bampar depan dan belakang baru, empat muncung ekzos di belakang, serta salur udara, kemasan tepi pintu dan gril baru.