Jika sebelum ini mereka pernah menampilkan modifikasi pada model Toyota C-HR, jenama talaan kenderaan Kuhl Racing kini menambah sebuah lagi model yang diberikan sentuhan modifikasi menarik, kali ini melibatkan model Toyota 86. Seperti yang dapat dilihat di sini, kereta ini menerima kit badan lebar 01R-GT yang dihasilkan oleh mereka sendiri, dipadankan dengan roda 20 inci dengan tayar Falken FK453.

Ekzos pula menggunakan unit muffler yang dibangunkan oleh Kuhl Racing. Paling ketara ialah kedudukan kereta ini yang lebih rendah dengan penggunaan tayar yang lebih lebar, dengan talaan camber yang menjadikannya lebih agresif terutama di belakang.

Kelengkapan brek bersaiz besar turut melengkapinya untuk memberikan daya henti yang lebih kuat. Selain itu, turut tersenarai di dalam sentuhan yang diberikan ialah sayap GT yang digunakan; ia memberi penampilan visual yang lebih garang, tambahan pula dengan penggunaan warna khas Rohan.

Bahagian belakang juga nampak serasi dengan pertambahan yang diberikan pada kereta ini; bampar belakang Kuhl Racing yang lebih lebar dengan ruang untuk menempatkan ekzos yang lebih menonjol serta kedudukan lampu yang ada. Apa pandangan anda tentang modifikasi rekaan yang dilakukan ini?