Jika anda memiliki sebuah Toyota Sienta, dan merancang untuk mengubah sedikit sebanyak penampilannya, UMW Toyota Motor kini memperkenalkan pakej bodykit baru bagi model MPV berkenaan.

Ditawarkan pada harga RM2,950 termasuk GST, pakej berkenaan menampilkan rekaan spoiler bampar depan baru bagi Sienta, serta termasuk juga kit sisi badannya. Bodykit yang ditawarkan ini sama rekaannya seperti yang ada pada Sienta untuk pasaran Indonesia, bagi varian yang paling tinggi.

Di Malaysia, Sienta ditawarkan dalam dua varian – 1.5G dan 1.5V – dengan kedua-duanya dipacu oleh enjin yang sama; 1.5 liter empat silinder dengan janaan kuasa 107 PS dan 140 Nm. Ini dipadankan pula bersama kotak gear CVT dengan tujuh nisbah maya.

Pakej bodykit ini ditawarkan bagi kedua-dua varian berkenaan; tiada nota pengecualian yang dinyatakan berkaitan perkara ini di laman web rasmi Toyota. Dari segi harga, ia bermula dari RM90,200 atas jalan tanpa insurans bagi varian 1.5G.

Varian 1.5V pula dijual pada harga RM97,000. Selain berkongsi enjin yang sama, MPV tujuh tempat duduk ini juga datang dengan ciri-ciri keselamatan standard, seperti tiga beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Hill-Start Assist (HAC) dan tapak Isofix.