Volkswagen Jetta Allstar dilancarkan pada pasaran Malaysia – pelbagai aksesori tambahan, RM109,990

Volkswagen Jetta Allstar dilancarkan pada pasaran Malaysia – pelbagai aksesori tambahan, RM109,990

Mei lalu, Volkswagen Cars Passengger Car (VPCM) telah memperkenalkan model segmen-B hatchback Polo Allstar dan sedan Vento Allstar. Hari ini sempena Volkswagen Festival 2017, sebuah lagi versi Allstar dilancarkan iaitu sedan segmen-C Volkswagen Jetta Allstar.

Seperti juga versi-versi sebelum ini, Jetta Allstar diberikan perincian-perincian unik bagi membezakannya dengan versi standard. Dibina berasaskan Jetta dari varian pertengahan Comfortline, model ini ditambah dengan pelbagai aksesori yang bernilai RM3,000. Aksesori berkenaan termasuk pedal sport aluminium, spoiler belakang dan juga aksesori lain dengan logo ‘Allstar’ merangkumi karpet kaki, plat pelindung sisi dan juga emblem pada tiang-B.

Jetta Allstar masih dilengkapi ciri lain yang diberikan pada Comfortline standard termasuk lampu hadapan halogen, rim 16-inci Navaro, roda stereng pelbagai fungsi, tempat duduk hadapan larasan manual, upholsteri dengan fabrik “Sienna”, sistem pendingin hawa dua zon Climatronic dengan liang untuk penumpang belakang, sistem audio dengan skrin sesentuh utama RCD 330G dan enam pembesar suara.

Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model istimewa ini dimana ia masih lagi dijana enjin empat-silinder 1.4L TSI suntikan-terus dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Enjin tersebut juga masih lagi dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, memacu roda hadapan.

Kelengkapan keselamatan model ini juga masih sama seperti sebelum ini, dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control. Ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah penggera anti-curi bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Walaupun dengan aksesori lebih banyak diberikan, Jetta Allstar dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,990 – RM8,000 lebih rendah berbanding varian Comfortline standard. Ia hadir dengan empat warna seperti Jetta biasa iaitu putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black). VPCM menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama untuk setiap pembelian model ini.

GALERI:Gambar rasmi Volkswagen Jetta Allstar

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required