Mazda CX-5 2017 – harga untuk pasaran Malaysia, lima varian CKD akan diperkenal bermula pada RM136k

Mazda CX-5 2017 – harga untuk pasaran Malaysia, lima varian CKD akan diperkenal bermula pada RM136k

Mazda CX-5 2017 baru masih lagi belum dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, tetapi ini adalah senarai harga bagi semua lima varian dan tiga pilihan enjin yang akan ditawarkan sebaik sahaja ia dilancar. Model SUV lima tempat duduk baru ini akan memberi saingan kepada Honda CR-V dan Nissan X-Trail, dan ia akan dipasang di Kulim, Kedah (CKD).

Varian CX-5 bermula dengan GL asas dan GLS yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter 2WD berkuasa 162 hp dan 210 Nm. Harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi varian ini masing-masing adalah RM136,405 dan RM150,291. Jika anda mahukan enjin yang lebih besar, varian 2.5 GLS ditawarkan pada harga RM164,886 dan ia dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 2.5 liter berkuasa 192 hp dan 257 Nm tork.

Sama seperti model generasi sebelum ini, CX-5 baru turut akan didatangkan dengan pilihan enjin diesel, menggunakan unit SkyActiv-D 2.2L dan berkemampuan 173 hp dan 420 Nm tork. Ia boleh dipilih sama ada dalam versi 2WD yang berharga RM171,539, ataupun AWD yang berharga RM182,139. Semua enjin CX-5 ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem G-Vectoring Control (GVC) secara terus.

Terdapat juga pilihan tiga warna premium pada harga RM2,000 (tambahan) iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake Pearl White, manakala untuk mendapatkan sistem navigasi dan tempat duduk kulit pada varian 2.0 GL, anda perlu menambah masing-masing RM1,270 dan RM2,900.

Masih belum ada senarai spesifikasi yang disiarkan oleh Bermaz Motor sendiri, tetapi berdasarkan iklan yang dipaparkan oleh pengedarnya, CX-5 asas akan datang dengan lampu utama projector halogen, manakala varian yang lain menggunakan lampu LED penuh. Varian petrol juga akan didatangkan dengan sistem lampu hadapan adaptif (AFS), manakala varian diesel akan mendapat lampu LED adaptif (ALH). Dua jenis rim juga akan dilengkapkan pada CX-5 baru ini iaitu 17 inci dan 19 inci.

Kelengkapan lain yang boleh didapati pada CX-5 baru adalah termasuk tempat duduk kulit, roda stereng pelbagai fungsi, brek tangan elektronik (kini dengan fungsi hold), corong pendingin hawa belakang, pengawal suhu dua zon, Mazda Connect, tempat duduk larasan kuasa dan perehat tangan belakang dengan soket pengecas USB bersepadu.

Selain itu, terdapat juga kelengkapan keselamatan i-Activsense yang memberikan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Monitoring (BSM) dan Smart City Brake Support (hadapan) pada semua varian, manakala varian diesel mendapat tambahan Smart City Brake Support (belakang), Lane Keep Assist (LKA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Driver Attention Alert (DAA).

Selebihnya kita tunggu apabila ia dilancarkan nanti.


GALERI: Mazda CX-5 generasi kedua di GIIAS 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required