Syarikat pengendali aplikasi perkongsian kenderaan, Uber, berhadapan dengan penalti sebanyak 190 juta peso (RM15.7 juta) dan penggantungan servis selama sebulan oleh Lembaga Franchais dan Kawal Selia Pengangkutan Darat (LTFRB) Filipina, lapor agensi berita Reuters.

Laporan berkenaan menyebut, penggantungan ini telah pun bermula pada 14 Ogos lalu dan ia dikenakan susulan syarikat berkenaan mengingkari arahan LTFRB supaya menghentikan permohonan pemandu-pemandu baharu. Walau bagaimanapun, Uber berkata mereka tidak memproses permohonan-permohonan tersebut, dan menyatakan pada Lembaga berkenaan bahawa mereka boleh membayar saman 10 juta peso (RM800,000) untuk membatalkan penggantungan ini.

LTFRB turut berkata bahawa Uber perlu membayar hampir 20 juta peso (RM1.6 juta) sebagai pampasan kepada pendapatan harian kepada pemandu-pemandunya sepanjang tempoh penggantungan tersebut. Setakat ini, Uber mempunyai sejumlah 67,000 pemandu di Filipina.

Lembaga berkenaan menjelaskan bahawa penalti ini telah mengambilkira jumlah hari yang perlu untuk menggantung perkhidmatan Uber berdasarkan pendapatan purata harian, dan juga baki waktu tempoh penggantungan tersebut.

Pertikaian antara Uber dan LTFRB telah menarik perhatian orang ramai kerana rakyat Filipina kini lebih memilih servis perkongsian kenderaan sebagai cara pengangkutan kerana ia lebih boleh diharap dan lebih berdaya saing berbanding servis pengangkutan arus perdana. Penggantungan ini juga telah menyebabkan pesaing Uber di Filipina iaitu Grab menerima permintaan yang tinggi, serta rungutan orang ramai untuk menggunakan teksi biasa.