VIDEO: Rolls Royce Phantom VII dengan enjin Toyota 2JZ disuap turbo dan supercharger, berkuasa 600 hp

Di Malaysia, kereta Eropah yang disumbat dengan enjin Jepun merupakan perkara biasa. Pemilik-pemilik BMW, Mercedes-Benz, Jaguar malah Volvo lama seringkali memilih enjin-enjin turbo enam silinder Jepun seperti siri RB Nissan (RB20, RB25, RB26), dan juga siri G (1G-GTE) dan JZ (1JZ, 2JZGTE) untuk menggantikan enjin asal mereka dengan alasan lebih tahan lasak, lebih berkuasa, dan dalam konteks Malaysia ia lebih kecil dari segi kapasiti yang membolehkan bayaran cukai jalan juga lebih rendah.

Perkara ini turut berlaku diluar Malaysia sebenarnya. Tetapi menerusi video yang dimuatnaik oleh SpeedHunter ini nampak pengubahsuai berkenaan telah masuk ke fasa lebih tinggi apabila sebuah Rolls Royce Phantom VII 2008 di Jepun yang asalnya dijana enjin V12 6.75 liter berkuasa 459 hp kini digantikan dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo Toyota 2JZ yang biasanya dijumpai di dalam perut Toyota Supra JZA80.

Menurut Speedhunter, Rolls Royce ini menghadapi masalah enjin ketika meter perbatuannya mencecah 190,000 km dan ia perlu ditukar kepada sebuah lagi enjin baharu. Masalah yang dihadapi oleh pemilik adalah, beliau terpaksa menunggu sehingga dua tahun bagi mendapatkan sebuah enjin gantian baharu dari Rolls Royce.

Jadi, untuk mengatasi masalah ini, pemilik berkenaan mengambil jalannya sendiri untuk memperbaiki kereta berkenaan secepat mungkin dengan menukar enjin asal tersebut dengan enjin 2JZ yang lebih mudah didapati di Jepun. Sudah tentu jumlah kuasa standard sekitar 280 hp pada 2JZ ini tidak mencukupi untuk membawa badan Rolls Royce ini sama seperti keadaan asalnya, jadi enjin tersebut diberikan pengubahsuai yang ekstensif.

Kini enjin berkenaan bukan hanya disuap dengan pengecas turbo Trust T78, ia turut didesak oleh kit supercharger HKS GT8555. Buat masa sekarang, tekanan boost dilaras pada 1.6 bar, tetapi ia dalam perancangan untuk menala komputer HKS F-CON V Pro pada tahap boost 2.0 bar dan dijangka sejumlah 900 hp bakal dihasilkan pada peringkat tersebut.

Bagi memastikan enjin ini kekal bertahan dengan desakan boost jauh lebih besar dan menhasilkan kuasa lebih optimum, J&K Power dari Chiba yang bertanggungjawab membuat pengubahsuaian ini turut memadankan omboh forged lebih besar dari HKS, sistem penyejukkan menggunakan radiator dari HPI Evolve serta tangki tambahan yang diambil dari Lexus RC F.

Untuk memastikan casis Rolls Royce ini mampu menampung jumlah kuasa lebih besar serta mengatasi masalah reliabiliti pada sistem suspensi jenis udara standard kereta mewah ini, pemilik telah memadankan suspensi boleh laras sepenuhnya dari Öhlins, yang dipasang secara ubahsuai bagi menggantikan sistem asal.

Rolls Royce Phantom VII ini masih lagi kelihatan standard pada bahagian luaran, cuma ditambah sepasang splitter pada bampar hadapan serta jalur LED tambahan pada liang udara. Jika mereka yang arif dengan pengubahsuaian kereta, unit intercooler disebalik gril standard Rolls Royce ini tentunya mengundang sangsi.

Dalaman kereta mewah ini juga kelihatan standard, tetapi ditambah dengan meter boost Defi, serta paparan informasi Defi Advance ZD. Satu suis dipadankan pada tombol gear – ia bukan suis sistem NOS, tetapi sebenarnya untuk mengaktifkan/mematikan fungsi overdrive kerana 2JZ pada Rolls Royce ini menggunakan kotak gear automatik empat-kelajuan dari Toyota Aristo.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required