Kita sudah mengetahui bahawa Chery akan menunjukkan buat pertama kali sebuah SUV kompak serta jenama global baru semasa Frankfurt Motor Show nanti, tetapi ia tidak akan terbatas setakat di situ.
Pertama sekali, kita imbas kembali kepada SUV tersebut, yang akan membuat penampilan global pertamanya di Jerman dalam bentuk pra produksi. “SUV kompak berkualiti tinggi” ini adalah yang pertama dalam barisan modelnya yang akan dijual di Eropah dalam masa beberapa tahun lagi, dan ia menggunakan “platform serba baru, berkualiti tinggi” serta teknologi yang dibangunkan bersama pembekal terkemuka antarabangsa.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Chery, ia tidak menyatakan perkara selanjutnya, tetapi Autocar ada menyebut Bosch terlibat dalam bahagian sistem informasi dan hiburan (termasuk skrin sesentuh 10 inci dan panel meter digital 7.0 inci), Continental untuk sistem elektronik dan Benteler dari Jerman untuk strukturnya. Pada aspek rekaan, SUV ini akan menampilkan falsafah rekaan “Life In Motion.”
Barisan kenderaan baru Chery untuk Eropah akan dikuasakan oleh beberapa enjin yang mendapat bantuan tenaga elektrik termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik penuh (EV). Selain itu menurut Chery untuk kelengkapan, ia akan disertai dengan ciri sambungan canggih, sistem keselamatan maju dan kemampuan autonomous.
Selain SUV (di dalam gambar) yang masih belum diberi nama ini, akan terdapat juga beberapa kereta pameran lain di Frankfurt termasuk Cherry Tiggo Coupe Concept. Seperti juga SUV itu, model ini turut menjadi gambaran kepada arah rekaan kenderaan Chery pada masa hadapan. Walaupun mahu membina jenama baru, nama model sama masih dikekalkan.
Turut dinyatakan adalah Tiggo Coupe bakal menggunakan teknologi maju termasuk “roda stereng interaktif” pelbagai fungsi yang boleh dilipat masuk dan digunakan sebagai alat kawalan untuk bermain permainan video apabila berada dalam mod autonomous.
Tiggo Coupe Concept digerakkan oleh motor elektrik 120 kW yang mendapat kuasa daripada pek bateri lithium-ion. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, laju maksimum lebih 200 km/j dan memberi jarak perjalanan sehingga 500 km.



Chery Tiggo 9
dari RM166,800
Chery Tiggo 8
dari RM159,800
Chery Tiggo 7
dari RM129,800
Chery O5
dari RM116,800
Chery Tiggo Cross
dari RM88,800
Chery Omoda E5
dari RM146,800