Toyota Yaris diberi facelift di Thailand – rupa lebih menyerupai model sedan, banyak ciri keselamatan

Toyota Yaris diberi facelift di Thailand – rupa lebih menyerupai model sedan, banyak ciri keselamatan

Toyota Yaris telah diberikan facelift di pasaran Thailand, dan kereta hatchback eco ini mendapat rupa dan papan pemuka yang sama seperti sedan Yaris Ativ, yang dilancarkan bulan lalu. Boleh dilihat pada bahagian depannya, terdapat gril bawah yang lebih besar, serta lampu siang LED pada setiap penjuru, bagi varian G yang paling tinggi. Lampu hadapannya menggunakan unit halogen projector serta light guide LED pada varian G, manakala lampu belakang LED datang standard untuk semua varian.

Tiang C-pillar berwarna hitam yang menimbulkan visual bumbung terapung dikekalkan pada model facelift ini, tetapi cermin belakang kini lebih rata. Sepasang lampu belakang yang panjang sehingga ke tepi digunakan, dan ia disambungkan pada bahagian tengah dengan panel hitam berserta logo Toyota. Bahagian ini sememangnya menjadikan ia nampak berbeza berbanding sebelum ini.

Yaris adalah sebuah kereta eko, jadi ia dikuasakan oleh enjin 1.2 liter, iaitu kapasiti paling tinggi yang dibenarkan bagi kelas bajet. Enjin yang menggunakan kod 3NR-FE ini sebenarnya adalah sama sahaja dengan model sebelum facelift, dengan kuasa 86 PS dan 108 Nm tork pada 4,000 rpm. Enjin empat silinder Dual VVT-i ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i pada semua varian. Ini juga adalah padanan sama yang digunakan pada Yaris Ativ.

Papan pemuka yang digunakan adalah serba baru. Rekaannya adalah sama seperti pada Ativ, tetapi memandangkan versi sedan tersebut diletakkan lebih tinggi, versi hatchback tidak mendapat beberapa kelengkapan seperti skrin paparan informasi berwarna dan sistem audio skrin sesentuh. Ini digantikan dengan tolok biasa pada panel meter dan unit audio yang bersepadu dengan papan pemuka.

Walaupun begitu, bahagian dalam model hatchback ini masih lagi nampak premium berbanding sebelum ini. Kelengkapan lain yang ada pada kereta ini adalah sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula, butang kawalan audio dan telefon di stereng, panel kawalan pendingin hawa digital dan panel meter Optitron. Sama seperti Altiv, Yaris datang dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, BA, VSC dan HAC secara standard bagi semua varian.

Harga ditetapkan bermula pada 479,000 baht (RM60,568) untuk model asas J Eco (rim besi 14 inci, tiada radio), 529,000 baht (RM66,911) untuk varian J, 559,000 baht (RM70,705) untuk E dan 609,000 baht (RM77,030) untuk G. Semua varian ini 10,000 baht lebih mahal berbanding sebelum ini, tetapi dilengkapi dengan lebih banyak kelengkapan keselamatan. Tiada versi TRD Sportivo yang diperkenal semasa pelancaran tetapi ia boleh dijangka ditawarkan pada masa hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required