Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi – kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

Hari ini secara rasmi UMW Toyota memperkenalkan varian baharu dan juga varian tertinggi Toyota Innova generasi kedua, digelar Toyota Innova 2.0X. MPV spesifikasi tertinggi ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM132,800, menjadikan ia RM9,000 lebih mahal dari varian 2.0G. Sebagai perbandingan, varian asas Innova 2.0E dijual pada harga RM107,800 untuk versi manual dan RM115,800 bagi versi transmisi automatik.

Menurut Toyota, Innova 2.0X ini menerapkan “rekaan yang diasaskan dari konsep crossover, lain dari rupa MPV tradisional.” Ia menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

Kesemua varian Innova didatangkan standard dengan lampu dan pengelap cermin automatik, serta lampu follow-me-home. Semua kelengkapan dari varian 2.0G diberikan pada model 2.0X ini seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta sistem pendingin hawa automatik.

Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

Sebagai varian tertinggi, ia turut ditambah pelbagai lagi kelengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED dengan fungsi larasan automatik yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17 berbanding rim 16-inci dengan tayar 205/65R16 pada model 2.0G dan 2.0E.

Perubahan terbesar yang dilakukan ialah menampilkan dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh-tempat duduk berbanding lapan pada model lain yang lebih rendah. Namun bagi penumpang yang duduk di tempat duduk kapten, ia pastinya memberikan perasaan yang lebih selesa, mewah dan premium.

Menurut Toyota, tempat duduk kapten berkenaan adalah sama seperti yang ditawarkan pada MPV premium yang lebih besar dan “memberikan keselesaan pada tahap Business Class bersama pemegang cawan dan juga meja boleh lipat serta perehat tangan individu.”

Model 2.0X ini turut menampilkan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada kesemua tempat duduk (berbanding fabrik pada varian lain), bersama larasan berkuasa enam-hala bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

Kelengkapan lain model 2.0X ini turut berkongsi bersama model 2.0G termasuk kemasan kayuan berkilat dan “emas sutera” pada beberapa bahagian permukaan, sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, lampu suasana LED berwarna biru dua-zon, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

Bagi keselamatan pula, Innova dibekalkan dengan tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki – standard untuk semua varian termasuk model asas 2.0E. Bahagian mekanikal tidak menampilkan apa-apa perubahan di mana model tertinggi ini kekal dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 ps/183 Nm, digandingkan bersama transmisi automotik enam-kelajuan yang turut dilengkapkan dengan mode pemanduan Eco dan Power.

UMW Toyota kini turut menawarkan aksesori tambahan untuk Innova iaitu “Monitor Pandangan Panaromik” yang memberikan imej 360 darjah pada sekeliling kenderaan dan sudut atas. Menerusi sistem ini, empat kamera dipasang pada Innova, manakala imejnya pula dipaparkan pada skrin DVD-AVX bagi membantu pemandu ketika memarkir. Kamera DVR atau dashcam (untuk merakam pemanduan) dan juga filem penapis haba keselamatan turut ditawarkan sebagai opsyen.

Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required