Toyota Innova generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 varian, 139 PS/183 Nm, EEV, harga dari RM106k

img_0675

Tahun ini menyaksikan beberapa pelancaran model facelift dan baharu daripada UMW Toyota Motor (UMWT). Bagi model serba baharu, Toyota Hilux telah dilancarkan pada Mei lalu, bersama-sama dengan model SUV Fortuner. Pada Ogos lalu, giliran MPV mewah Alphard dan Vellfire pula diperkenalkan dengan model generasi baharu. Dalam bulan yang sama, mini MPV Sienta turut dilancarkan.

Selain itu, UMWT turut melancarkan model Vios generasi ketiga versi dipertingkatkan pada Oktober lalu. Merancakkan lagi langkah yang agresif, model Camry 2016 yang mengalami sedikit perubahan gaya turut meluncur di pasaran awal bulan ini. Terbaru dan paling terakhir untuk tahun ini, giliran MPV Innova generasi kedua pula dilancarkan hari ini.

Innova generasi kedua ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang milik UMWT di Assembly Services Sdn.Bhd, Shah Alam.

toyota_innova_mop_ext-3

Innova baharu ini turut didatangkan dengan tiga varian iaitu 2.0E MT, 2.0E AT dan spesifikasi tertinggi, 2.0G AT. Ia dilengkapi dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter, yang mampu menghamburkan kuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm iaitu lebih tiga PS dan satu Nm berbanding sebelum ini.

Malah ia juga dipadankan dengan transmisi baharu iaitu automatik enam-kelajuan (kecuali varian 2.0E MT dengan kotak gear manual lima-kelajuan), menggantikan kotak gear empat-kelajuan pada model lama. Malah ia juga menerima pengsijilan kenderaan cekap tenaga (EEV), di mana ia merupakan MPV keluaran pertama Toyota yang menerima kelayakan ini.

Berbanding dengan model sebelum ini, Innova baharu ini lebih panjang sebanyak 150 mm (4,735 mm), 55 mm lebih lebar (1,830 mm) dan 35 mm lebih tinggi (1,795 mm). Jarak rodanya pula tidak berubah iaitu 2,750 mm. Walau bagaimana pun, Innova baharu ini lebih berat berbanding terdahulu iaitu antara 105 hingga 125 kg.

Bagi ciri-ciri luarannya, semua varian dipadankan dengan lampu utama halogen projektor dan rim aloi 160inci. Walau bagaimana pun, varian 2.0G ada tambahan lampu kabus hadapan (lampu kabus belakang adalah standard bagi semua varian), puddle lamp dan kemasan krom pada gril depan dan pemegang pada pintu. Ciri cermin sisi boleh lipat dengan lampu serta pengelap cermin depan dengan pemasa boleh ubah juga hanya untuk varian tersebut.

toyota_innova_mop_int-1

Menjengah kabinnya, Innova 2.0G menggunakan instrumen kluster Optitron dengan MID berwarna, pendingin hawa automatik depan dan belakang, roda stereng pelarasan Tilt & Telescopic dan tombol balutan kulit, termasuk lampu pencahayaan ambien LED pada bumbung. Kemasan kayu turut ada konsol tengah dan stereng. Malahan kekemasan pintunya cukup menarik dengan balutan fabrik bersama kemasan perak dan hitam berkilat.

Malahan varian 2.0G ini turut menerima kemasukan tanpa kunci dengan butang Push Start, serta pintu kuasa Easy Closer di belakang. Selain turut mempunyai perehat lengan, cupholder, ruang barangan di konsol tengah serta meja boleh lipat di bahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan yang mampu menampung berat barangan sehingga 10 kg.

Manakala bagi varian 2.0E AT dan MT pula, panel instrumennya hanya dengan kekemasan hitam dan perak, penghawa dingin hadapan dan belakang secara manual, roda stereng pelarasan Tilt & Telescopic dan tombol gear balutan material urethane dan kekemasan pintu balutan fabrik.

Semua varian juga menerima tempat duduk balutan fabrik (cuma untuk 2.0G ia dihiasi dengan rekaan jaluran yang menarik) dengan bentangan 2-3-3 iaitu barisan kedua boleh lipat 60:40 dan barisan ketiga 50:50 adalah sebahagian daripada ciri Easy Space Up.

Unit radio dengan input USB, Bluetooth dan enam pembesar suara adalah ciri standard bagi semua varian. Pelanggan boleh juga memilih naik taraf kepada unit DVD-AVX (RM2,968) atau DVD-AVN (RM3,816) – dengan skrin sentuh lapan inci dengan sambungan kepada telefon pintar, input HDMI serta kamera undur. Pilihan AVN turut melibatkan tambahan ciri GPS. Dash-cam DVR turut ditawarkan pada harga RM636.

Bagi aspek keselamatan, varian 2.0G paling lengkap dengan menerima tujuh beg udara, Bantuan Brek(BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan dua cagak Isofix sebagai standard. Ia juga menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Manakala varian 2.0E AT dan MT hanya menerima tiga beg udara dan ABS sahaja.

Harga atas jalan tanpa insurans yang ditawarkan bagi ketiga-tiga varian ialah RM105,764.31 untuk 2.0E MT, manakala 2.0E AT pula RM113,543.83 dan 2.0G AT pula RM122,323.35. Kesemua model turut ditawarkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

Menurut Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki, “Bagi generasi kedua ini, Toyota telah menaik taraf Innova agar menjadi lebih premium termasuk bagi imej luaran dan dalamannya. Ia memang cukup sesuai untuk kegunaan keluarga. Kami mensasarkan jualan sebanyak 4,000 unit Innova pada tahun 2017, dan setakat ini telah menerima 500 tempahan.”

Untuk perincian lanjut dan spesifikasi penuh mengenai Innova baharu ini, sila layari carbase.my.

GALERI: Toyota Innova 2.0G AT

GALERI: Toyota Innova 2.0E AT

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required