Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

Seperti yang diketahui ramai, Ogos lalu, pelumba pasukan Yamaha Racing dalam Moto GP, Valentino Rossi telah mengalami kemalangan sewaktu berlatih dan membuatkan beliau terlepas satu siri perlumbaan di Misano, Itali kerana kaki beliau yang patah. Tapi yang mengejutkan ramai, pada pusingan seterusnya, iaitu di Aragon, beliau muncul kembali dan ini hanya 20 hari selepas insiden berlaku.

Malah, pada hari perlumbaan, Rossi menunjukkan prestasi baik, dengan berada di kelompok hadapan pada kebanyakan masa, dan akhirnya menghabiskan perlumbaan di tempat kelima; yang dianggap cukup baik bagi seorang pelumba yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kaki yang patah.

Tidak dapat dinafikan lagi beliau adalah seorang pelumba yang hebat, tetapi disebabkan kaki kanan yang patah tersebut masih belum dapat berfungsi kuat 100%, beliau mahukan penyelesaian brek belakang khas. Oleh itu, Brembo telah memberikan tetapan brek belakang yang tidak lagi menggunakan pedal di kaki kanan, tetapi menggunakan tuil di ibu jari kiri.

Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

Sebenarnya, tetapan brek seperti ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana sudah ada beberapa penunggang yang menggunakannya dalam perlumbaan seperti Maverick Viñales, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo dan Danilo Petrucci, dengan antara sebabnya adalah mereka mahu membrek semasa membelok ke kanan dan mengelakkan kaki terkena jalan. Tetapan brek ibu jari ini juga boleh jadi berbeza sama ada ia boleh diguna sekali dengan pedal brek di kaki atau salah satu sahaja.

Namun, brek jenis ini diperkenalkan kali pertama oleh Brembo untuk Mick Doohan selepas beliau mengalami kemalangan teruk pada tahun 1992. Walaupun telah dibedah, kaki kanan beliau tidak dapat menjadi kuat seperti sebelumnya, dan memerlukan penyelesaian istimewa. Waktu itulah Brembo memperkenalkan brek ibu jari ini.

Bagi Rossi, beliau sudah pernah menguji brek ibu jari tersebut sebelum ini, dan memutuskan untuk menggunakannya sewaktu perlumbaan di Aragon. Beliau juga memilih untuk menggunakan tetapan yang boleh membuatkan kedua-dua tuil di ibu jari kiri dan pedal di kaki kanan boleh digunakan serentak untuk membrek tayar belakang. Dalam masa yang pantas, Brembo siap menghasilkannya untuk Rossi.

Anda juga boleh menonton video di bawah, di mana Danillo Petrucci menjelaskan bagaimana brek ibu jari ini berfungsi dan kenapa beliau memilih untuk menggunakannya dalam perlumbaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required