Proton Preve dengan peningkatan yang diperhalusi untuk versi 2018 kini dijumpai lagi sedang diuji di jalan raya. Gambar yang kami terima dari pembaca Sathia Roga ini nampaknya lebih jelas berbanding unit yang dijumpai di sebuah stesen minyak Petron bulan lalu.

Gambar yang diambil di lebuhrya KL-Seremban ini menampakkan Preve berkenaan menerima kemasan yang sama seperti Iriz dan Exora yang diperhalusi, menampilkan elemen hitam (dapat dilihat pada kemasan penutup but), logo 3D Proton baharu, serta bumbung yang turut diberikan warna hitam.

Unit yang diuji ini turut menampilkan warna baharu Ruby Red, bersama rim aloi lebih besar bersaiz 17-inci dengan kemasan aloi digilap dan hitam berkilat. Dijangkakan, Preve versi tingkat taraf ini akan diberikan penambahbaikkan dari aspek NVH seperti yang dilakukan pada Iriz dan Exora.

Tahun lalu ketika mengumumkan susunan semula terhadap barisan model dan juga unit janakuasa, Proton telah mengesahkan bahawa enjin NA 1.6 liter CamProm IAFM pada Preve akan digugurkan. Jadi, berkemungkinan besar model baharu ini hanya akan dijual dengan versi enjin 1.6 liter Turbo CFE.