Semalam kami telah laporkan bahawa Koenigsegg Agera RS kini sah sebagai kereta produksi terpantas di dunia dengan catatan kelajuan maksima purata untuk dua ujian direkodkan pada 447 km/j. Hari ini video rakaman ‘on-board’ ujian berkenaan pula didedahkan untuk tatapan umum.
Ujian ini dijalankan di Nevada, Amerika Syarikat iaitu pada jalan raya awam antara Las vegas dan Pahrump yang telah ditutup oleh polis. Dalam video tersebut dapat dilihat Agera RS mencapai kelajuan maksima 437 km/j pada cubaan pertama, manakala percubaan kedua pada laluan bertentangan, kereta yang dipandu oleh pemanduan ujian Koenigsegg, Niklas Lilja berkenaan mencapai kelajuan 457.7 km/j.
Oleh itu, kelajuan purata untuk kedua-dua percubaan tersebut dicatatkan pada 447 km/j, atau 16 km/j lebih laju dari rekod yang dicatatkan oleh Bugatti Veyron Supersport (431 km/j). Rekod yang diambil pada ujian berkenaan dikutip menerusi sistem Racelogic – perinciannya akan didedahkan oleh Koenigsegg sendiri tidak lama lagi.
Catatan rekod ini nampaknya memberi ‘pukulan KO’ kepada Bugatti sebanyak dua kali – bulan lalu Agera RS memusnahkan rekod 0-400-0 km/j yang dicatatkan oleh Bugatti Chiron tidak sampai sebulan kereta sport dari Perancis berkenaan memegang takhta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.