Honda berkata pihaknya tidak berharap untuk memulakan perkongsian yang melibatkan penggabungan dengan pengeluar kenderaan lain, walau pun cabaran yang semakin meningkat yang memerlukan mereka bergerak pantas bagi melakukan perubahan dalam landskap automotif. Presiden dan CEO Honda Takahiro Hachigo berkata syarikat ini tidak mempunyai sebarang hasrat untuk mendapatkan ekuiti atau pemilikan saham dengan pengeluar kenderaan lain.

Walau bagaimana pun, ia tetap terbuka dengan kerjasama strategik yang melibat pembangunan teknologi yang relevan dengan 2030 Vision mereka. “Kami akan bersedia untuk memulakan perkongsian dengan pengeluar kenderaan lain sekiranya kami boleh membina satu hubungan yang menguntungkan berhubung teknologi dan produk,” ujarnya kepada pemberita di Tokyo akhir bulan lalu, katanya yang memberikan contoh iaitu kerjasama antara General Motors dalam membangunkan sistem kuasa sel bahan api hidrogen.

“Apabila ia berkaitan dengan kenderaan sel bahan api, kami bekerjasama dengan GM dan kami juga telah melabur secara bersama dalam sebuah syarikat untuk pembangunan FCV, dan kami juga bersedia untuk membicarakan tentang kerjasama ini,” katanya lagi. Honda dan GM juga bersedia untuk menghasilkan sel bahan api secara bersama di Brownstown, kilang Michigan di USA mulai 2020. Kedua-dua syarikat juga membuat satu pelaburan bersama dengan sejumlah US$85 juta (RM360 juta) bagi projek berkenaan.

Mengenai diesel pula, Hachigo berkata, walau pun tumpuan terhadap pengelektrifikasi kian meningkat, namun bahan api tersebut akan terus kekal bagi pasaran tertentu, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

“Di Eropah, diesel merupakan pasaran utama kami, walau kami memberikan keutamaan terhadap pengelektrifikasi, namun ini tidak bermakna kami akan menghapuskan barisan model diesel kami. Ia masih mempunyai permintaan di Eropah – dan pasaran lain seperti di India – jadi kami akan meneruskan bahan api ini selaras dengan keperluan para pelanggan, dan akan menghentikannya secara berperingkat,” ujarnya.

Dua tahun lalu, pengeluar kenderaan telah berkata mereka akan melihat keterbatasan kemajuan bagi penjana kuasa diesel, dan akan menukar dan membangunkannya dengan teknologi lain bagi penjana kuasa tersebut.