Volkswagen dedah teaser jentera rali Polo GTI R5

Volkswagen dedah teaser jentera rali Polo GTI R5

Walaupun operasi pasukan rali dunia Volkswagen telah ditamatkan bermula musim WRC tahun ini, jenama dari Jerman berkenaan nampaknya masih lagi berminat untuk bertanding dalam perlumbaan dengan disiplin tersebut. Terbaharu, mereka telah menyiarkan teaser jentera Polo GTI R5 baharu yang akan diperkenalkan untuk program perlumbaan pelanggan.

Jentera ini akan diasaskan dari Volkswagen Polo GTI generasi terkini (Mk6) yang baharu sahaja didedahkan pada Jun lalu dan hanya mula dipasarkan pada hujung tahun ini. Untuk versi produksi, Polo GTI akan dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbo TSI bekuasa 200 PS, namun untuk bertanding dalam kategori R5, jelas sekali enjin dengan kapasiti 1.6 liter turbo perlu dimuatkan pada kereta ini.

Tiada perincian lanjut berkenaan unit janakuasa didedahkan, tetapi VW ada menyebut Polo GTI R5 akan dikerah dengan kuasa 270 hp dan dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear sequential perlumbaan lima-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda. Seperti juga jentara rali lain, kereta ini turut akan diberikan pakej keselamatan yang menyeluruh.

Pembangunan kereta ini sebenarnya telah bermula pada awal tahun ini, manakala sesi ujiannya juga dirancang akan dilakukan dalam tahun ini. Volkswagen akan menggunakan segala kepakaran mereka ketika berkecimpung dalam WRC selama empat tahun (2013-2016) dan mendominasi keseluruhan perlumbaan tersebut dengan menjadi juara pengeluar dan pemandu menerusi Sebastien Ogier sepanjang tempoh berkenaan.

Projek ini juga diketuai oleh François-Xavier “FX” Demaison, iaitu Pengarah Teknikal Volkswagen Motorsport yang juga orang yang bertanggung jawab menghasilkan jentera Polo R WRC sebelum ini. Jurutera projek senior Gerard-Jan de Jongh iaitu bekas jurutera perlumbaan untuk Sebastien Ogier turut terlibat dalam pembangunan Polo GTI R5 berkenaan.

“Dengan Polo GTI R5 kami berharap dapat memindahkan kepakaran kami dari WRC kepada program perlumabaan pelanggan dengan jayanya, dan menawarkan jentera perlumbaan kelas-pertama untuk pelbagai kejuaraan rali dari siri nasional hingga ke WRC,” kata pengarah sukan permotoran Volkswagen Sven Smeets.

“Sebelum bermula perlumbaan pertama tahun hadapan, kami akan mensubjekkan Polo GTI R5 untuk menjalani ujian yang ketat bagi memastikan ia bersedia untuk meredah pelbagai situasi dengan laluan ekstrem di seluruh dunia,” jelasnya lagi.

GALERI: Volkswagen Polo GTI Mk6 versi produksi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required