Produksi SUV Volvo XC40 sudah bermula di Belgium

Produksi SUV Volvo XC40 sudah bermula di Belgium

Pre-production of the new Volvo XC40 in the manufacturing plant in Ghent

Setelah didedahkan September lalu, model paling kecil dalam keluarga SUV Volvo –XC40– kini mula di produksi di kilang Volvo Cars Ghent, Belgium. Selepas tampil buat kali pertama, lebih dari 13,000 unit telah ditempah dan pelanggan dijangka bakal menerima kereta mereka pada awal tahun hadapan.

Antara pelanggan berprofil tinggi yang telah menempah XC40 mereka termasuk Perdana Menteri Belgium Charles Michel, presiden dan CEO Volvo Cars Håkan Samuelsson dan juga naib presiden senior pembuatan dan logistik Volvo Cars Javier Varela. Model ini dijangka akan terus memacu pertumbuhan Volvo bersama model-model SUV yang lebih besar iaitu XC60 dan XC90, memandangkan segmen berkenaan mendapat permintaan yang begitu tinggi.

“Ini merupakan hari yang membanggakan untuk Ghent, untuk syarikat dan semua pekerja di sini,” kata Samuelsson. “Pekerja kami telah mengambil masa yang lama untuk menyediakan kilang ini bagi memulakan produksi XC40 dan mereka telah melakukan tugas yang hebat. XC40 mewakili masa depan cerah untuk Ghent dan Volvo Cars.”

XC40 merupakan model pertama yang menggunakan platform modular untuk kereta kompak baharu Volvo digelar sebagai Compact Modular Architecture (CMA). Platform yang dibina bersama Geely ini akan membekalkan sinergi yang diperlukan dan skala ekonomi untuk segmen kereta kompak premium kepada Volvo Cars. Ia juga bakal dijadikan asas untuk pembangunan model-model siri 40 Volvo selepas ini.

Volvo XC40 ditawarkan dengan janaan petrol dan diesel – kedua-duanya berkapasiti 2.0 liter dengan empat silinder. Versi petrol akan menerima enjin T5 Drive-E berkuasa 247 hp/350 Nm, manakala model diesel pula diberikan enjin D4 turbodiesel berkuasa 190 hp/400 Nm. Kedua-dua pilihan enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik Geartronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda (pilihan pacuan dua roda hadapan menyusul kemudian).

Pada masa hadapan, beberapa pilihan enjin lain akan ditawarkan termasuk hibrid dan elektrik. Antara kemungkinannya adalah enjin plug-in hybrid T5 Twin Engine (petrol turbo tiga silinder 1.5 liter dengan motor elektrik) yang pernah ditunjukkan di Sweden dua tahun lalu.

Untuk keselamatan pula, XC40 dilengkapi dengan antaranya sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road Protection and Mitigation, Cross Traffic Alert dengan sokongan brek dan kamera 360 darjah.

Persediaan untuk memproduksi XC40 di Ghent ini telah bermula sejak sekian lama. Sejumlah pelaburan telah dicurahkan pada kilang berkenaan untuk mengubahnya sebagai hab eksport global bagi kereta-kereta yang diasaskan dari platform CMA, termasuk penambahan ruang 8,000 meter persegi pada bahagian pemasangan badan.

Sejumlah 363 robot baharu telah dipasang, termasuk sebuah robot unik yang besar untuk mengangkat bahagian bawah badan kereta ke konveyer yang hampir ke bumbung kilang tersebut – robot berkenaan digelar sebagai “the Beast” oleh pekerja-pekerja kilang Ghent.

Kilang ini juga merupakan salah sebuah dari dua kilang Volvo Cars di Eropah dan telah memproduksi Volvo sejak 1965. Sebelum ini kilang berkenaan telah menghasilkan XC60 generasi pertama, V40 dan V40 Cross Country generasi sedia ada serta sedan S60 dan wagon V60.

GALERI: Volvo XC40

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required