Klik untuk besarkan

Beberapa kali ia muncul di khalayak ramai di negara ini, sekaligus mengundang rasa tidak sabar di kalangan peminatnya untuk mengetahui harga Toyota C-HR yang bakal tiba di pasaran Malaysia ini. Terkini, senarai harganya bagi pasaran Semenanjung Malaysia telah mula beredar. Di mana ia bakal ditawarkan dengan harga atas jalan RM145,500 (tanpa insurans). Menurut senarai tersebut, harga ini adalah untuk mereka yang mendaftar minat pada awal tahun ini.

Merupakan model pemasangan dari Thailand (CBU), C-HR pasaran Malaysia juga didatangkan dengan enjin 2ZR-FBE 1.8 liter empat-silinder DOHC dengan Dual VVT-i yang turut dipadankan dengan CVT tujuh-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 137 PS pada 6,400 rpm dan tork 170 Nm pada 4,000 rpm.

Spesifikasi luaran dan dalamannya juga telah didedahkan baru-baru ini. Bagi bahagian luarannya, ia didatangkan dengan lampu utama projektor halogen automatik dengan fungsi Follow Me Home, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang dengan unit halogen, lampu belakang LED dan juga rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 215/60R17.

Menjengah kabinnya pula, bahagian atas papan pemuka C-HR bagi pasaran Malaysia ini dibentangi rona coklat gelap, malah warna yang sama turut menghiasi panel plastik hiasan pada tepi pintu dengan tekstur jalinan. Bahagian lainnya pula dihiasi plastik lembut dengan kekemasan hitam berkilat.

Antara elemen yang bakal ditampilkan termasuklah sistem masuk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

Manakala untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Warna standard yang ditawarkan termasuklah Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica, serta anda juga boleh memilih White Pearl CS atau dua-tona Blue Metallic dan Red Mica – kedua-duanya dengan bumbung hitam – tetapi dengan harga tambahan. Turut ditawarkan ialah sistem navigasi DVD-AVN, perakam video digital (seperti dash cam) dan pengalas barangan. Tidak sabar menantinya? C-HR ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama 2018.

GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Malaysia

GALERI: Toyota C-HR TRD Sportivo