Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru sahaja menerima Anugerah Grand Prix Terbaik bagi musim 2017 dan ini adalah pengiktirafan yang sama buat kali kedua bagi SIC. Pada tahun 2012 lalu, SIC juga pernah menerima pengiktirafan yang sama.

Anugerah Grand Prix Terbaik ini diberikan kepada SIC selepas ia dinilai oleh oleh Suruhanjaya Grand Prix yang disertai Dorna Sports SL, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) dan IRTA, laporan Berita Harian.

Menurut CEO SIC Datuk Razlan Razali, ia satu penghormatan untuk menerima anugerah berkenaan sekali gus membuktikan kemampuan SIC untuk menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia.

“Ini membuktikan dedikasi dan keupayaan pasukan kami untuk menganjurkan acara antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk dunia seperti FIM dan Dorna (pemegang hak komersial dan televisyen untuk kejuaraan). Terdapat 18 sirkit dan penganjur musim ini dan kami dipilih. Ia satu berita gembira buat Malaysia terutamanya peminat dan sudah tentu anugerah ini akan menambahkan lagi semangat staf SIC,” katanya.

Pengiktirafan ini diberikan atas faktor GP Malaysia 2017 yang berlangsung di SIC telah menunjukkan peningkatan dalam jumlah kehadiran penonton dan sepanjang tiga hari perlumbaan, seramai 166,486 penonton hadir ke Sepang berbanding 161,533 pengunjung pada tahun lalu.