VIDEO: Barisan jentera bersejarah Nissan Skyline dan GT-R pada Nismo Festival 2017 di Fuji Speedway

Setiap tahun, Nissan akan ‘melepaskan’ jentera-jentera berprestasi tingginya yang disimpan di muzium warisan sejarah mereka ke litar Fuji Speedway, untuk beraksi semula dalam acara Nismo Festival. Untuk pengetahuan anda, tahun ini merupakan edisi ke-20 penganjuran festival berkenaan yang telah diadakan buat pertama kali pada tahun 1997.

Khas untuk penganjuran kali ini, Nismo.TV telah menyiarkan sebuah video memaparkan barisan jentera-jentera perlumbaan sebenar Nissan Skyline dan GT-R dari zaman KPGC10 Hakosuka hingga ke R35.

Seperti yang diketahui, GT-R mula diproduksi pada tahun 1969 yang dibina berasaskan Skyline C10, iaitu Skyline pertama yang dipasarkan dengan lencana Nissan sepenuhnya tanpa nama Prince Motor Company. Kereta berwarna putih dengan jalur badan hijau pada video ini merupakan Skyline GT-R versi perlumbaan Touring Car Jepun pada tahun 1971, manakala yang berjalur merah pula merupakan versi tahun 1972.

Dengan enjin enam silinder 2.0 liter S20 dan tiga buah karburator perlumbaan Weber, jentera ini pernah merekodkan kuasa talaan tertinggi lebih dari 260 hp dan pernah dipandu berberapa pelumba lagenda Jepun seperti ‘Gan-San’ Motoharu Kurosawa dan pengasas Impul, Kazuyoshi Hoshino.

GT-R generasi kedua hadir pada September 1972, dan pada Nismo Festival kali ini Nissan telah membawa keluar model prototaip ‘Kenmeri’ Skyline GT-R KPGC110 berkenaan yang didedahkan buat pertama kali pada tahun tahun tersebut. Model prototaip ini diberikan warna badan hijau gelap dengan jalur emas bersama rim RS-Watanabee juga dengan kemasan emas, dan diberikan sedikit kelainan rekaan-rekaan kecil berbanding model produksi, terutamanya pada bahagian muka.

Beralih ke era 80’an, Nissan tidak lagi menghasilkan model GT-R sebenar tetapi Skyline RS Turbo (R30 dan R31) dijana enjin empat silinder FJ20 tidak kurang hebatnya. Paling popular tentulah jentera perlumbaan R31 ‘Iron Mask’ Group 5 Super Sillhoute merah-hitam Tomica yang begitu ikonik.

Jentera-jentera Super Sillhoute ikonik lain dari era berkenaan turut dibawa ke Nismo Festival kali ini – antaranya Nissan Silvia S12 dan juga Nissan Bluebird 910 ‘Coca-Cola’.

GT-R dilahirkan semula pada tahun 1989 menerusi model Skyline R32 GT-R. Kali ini ia dijana enjin enam silinder 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT dan dipadankan sistem pacuan semua roda Attesa ET-S Pro, serta mula dikenali sebagai ‘Godzilla’. Tiga buah jentera Group A ikonik R32 dibawa kali ini iaitu GT-R Taisan Advan yang pernah dipandu oleh ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya, Calsonic Skyline R32 GT-R dan HKS Skyline R32 GT-R.

Nissan turut membawa jentera-jentera perlumbaan GT-R dari era selepasnya iaitu R33, R34 dan R35, dari versi perlumbaan Super GT dan Jepun dan juga perlumbaan-perlumbaan endurance luar dari negara matahari terbit berkenaan seperti Le Mans, FIA GT3 dan sebagainya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required