Turbo lag adalah satu masalah biasa bagi enjin yang mempunyai sistem pendesak kuasa turbo. Ia memberikan sedikit kelambatan di antara waktu anda menekan pedal minyak dan tindak balas daripada enjin itu mula terasa. Bagi Volvo, barisan enjin PowerPulse terbaru mereka juga menggunakan turbo, tetapi mereka mendakwa telah menjumpai cara untuk mengatasi turbo lag.

Secara ringkasnya, unit pengecas turbo mendapat kuasa daripada gas ekzos, yang memusingkan turbin pada satu sisi, yang kemudiannya bersambung pada satu lagi turbin di sebelah lagi bahagian ke arah lubang kemasukan angin. Kitaran turbin ini menghasilkan angin yang lebih padat, seterusnya membawa kepada lebih oksigen dan lebih kuasa.

Disebabkan terdapat sedikit masa diperlukan untuk memusingkan pengecas turbo daripada kadar kitaran enjin (rpm) yang rendah dan kitaran gas ekzos yang juga rendah, pemandu juga akan dapat merasakan terdapat kelambatan di antara waktu mereka memijak pedal minyak dan tindak balas enjin itu mula terasa.

Penyelesaian yang digunakan oleh Volvo untuk enjin turbo diesel mereka adalah dengan meletakkan satu tangki udara mampat yang mendapat angin daripada compressor elektrik. Compressor ini mengambil angin daripada salur penapis udara. Angin yang tersedia mampat ini menunggu input daripada pedal minyak dan kemudiannya terus menyuntik udara kepada bahagian turbin ekzos pengecas turbo untuk menggerakkannya dengan lebih pantas.

Untuk enjin petrol pula, Volvo menggunakan kedua-dua supercharger dan pengecas turbo untuk mengelakkan turbo lag. Untuk enjin jenis ini, unit supercharger mekanikal mengambil alih tugas compressor angin seperti pada enjin diesel turbo tadi. Supercharger ini juga dapat digerakkan lebih pantas berbanding pengecas turbo kuasa ekzos. Bagi varian enjin T8 Twin Engine, kelambatan tindak balas diatasi lebih lagi dengan pacuan kuasa elektrik.