Sejak Volkswagen lebih fokus terhadap pembangunan enjin TSI yang jelas lebih kompak dan efisien dari segi penghasilan kuasa kuda serta pengggunaan bahan api, enjin VR6 dengan kapasiti lebih besar dilihat seperti disisihkan. Namun ketika bercakap kepada Car Throttle semasa pelancaran Polo GTI di UK, jurucakap barisan model Volkswagen, Martin Hube mengatakan syarikatnya kini sedang membina VW Arteon yang dijana enjin VR6 3.0 liter bersama pengecas turbo.

Menurut Hube, enjin berkenaan akan diletakkan lebih tinggi dari enjin 2.5 liter pada VW Teramont, iaitu Atlas pasaran China. Enjin tersebut juga didakwa mampu menghasilkan 404 bhp dan kini unit prototaip Arteon yang dijana enjin berkenaan sedang dalam ujian.

“Saya percaya kombinasi ini adalah sangat baik,” katanya dan menambah, “Kami gandingkan ia dengan [sistem pacuan semua-roda] Haldex versi terakhir bagi membolehkan anda mendapat sedikit oversteer. Ini merupakan kereta yang benar-benar lincah dan berkuasa.” Tambahnya dengan yakin, “Anda boleh mengalahkan semua Porsche Panamera!”.

Bagi mereka yang belum mengetahui, VR6 merupakan enjin unik yang dibangunkan oleh Volkswagen sejak sekian lama menampilkan enam silinder dalam susunan V hanya sekitar 10.5 hingga 15 darjah dan mempunyai hanya satu satu kepala silinder, berbanding enjin V6 biasa yang mempunyai sudut sekitar 60 hingga 90 darjah serta dua kepala silinder.

Enjin berkenaan popular pada model-model berkuasa tinggi Volkswagen sebelum ini seperti VW Corrado VR6 dengan enjin 2.9 liter NA berkuasa 190 PS dan juga VW Golf R32 VR6 (Mk4 dan Mk5) dengan enjin 3.2 liter NA berkuasa lebih dari 240 PS.

GALERI: Volkswagen Arteon